MANCHESTER: Kelab Arab Saudi tidak akan berputus asa untuk memikat Cristiano Ronaldo ke liga mereka, menurut presiden Persatuan Bola Sepak negara itu.
Ronaldo, 37, tidak merahsiakan hasratnya untuk meninggalkan Manchester United dan menyertai kelab yang bermain dalam Liga Juara-Juara musim ini.
Walaupun dirisik oleh Chelsea dan Napoli, namun satu-satunya tawaran konkrit yang datang untuk bintang Portugal itu adalah daripada kelab Liga Pro Arab Saudi, Al-Hilal dan Al-Nassr.
Presiden Persekutuan Bola Sepak Arab Saudi (SAFF), Yasser Al-Misehal percaya, usaha untuk membawa masuk Ronaldo ke negara itu tidak akan berhenti begitu sahaja.

“Kami ingin melihat pemain seperti Cristiano Ronaldo bermain dalam Liga Saudi. Ia akan mendapat maklum balas positif dan menjadi berita besar buat semua orang.
“Saya pasti semua tahu pencapaian dan rekod Cristiano Ronaldo, malah dia juga pemain yang menjadi contoh hebat.
“Saya fikir…Kenapa tidak? Saya pasti ia akan menjadi perjanjian yang sangat mahal, sudah tentu tetapi kita boleh melihat kelab bakal memperoleh pendapatan lebih tinggi dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
“Kami sudah melihat beberapa pemain besar yang pernah bermain dalam Liga Perdana Inggeris datang ke Liga Saudi.
“Saya suka Cristiano Ronaldo sebagai pemain dan ingin melihatnya bermain di Arab Saudi,” katanya kepada The Athletic.
Di bawah bimbingan pengurus baharu United, Ronaldo hanya sekali diturunkan dalam kesebelasan utama musim ini. Dia tewas di belakang penyerang muda, Marcus Rashford.
Ronaldo juga gagal memberi impak pada aksi pembukaan Liga Europa di tempat sendiri, Khamis lalu apabila United kalah 0-1 kepada Real Sociedad. – AGENSI