Nasib pemain Melaka United ibarat 'sudah jatuh ditimpa tangga'

Nasib pemain Melaka United ibarat ‘sudah jatuh ditimpa tangga’

PENGUMUMAN MFL mengenai pembatalan penyertaan Melaka United dalam Piala Malaysia.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sudahlah tidak dapat gaji, impian pemain Melaka United (MU) untuk beraksi di pentas berprestij, Piala Malaysia pula lebur selepas slot mereka dibatalkan oleh Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).

MFL dalam satu kenyataan hari ini mengesahkan, Melaka United tidak dibenarkan beraksi dalam Piala Malaysia 2022 yang akan membuka tirai bulan depan susulan kegagalan kelab berkenaan melunaskan tunggakan gaji pemain dan pegawai.

Keputusan itu dibuat oleh Ahli Lembaga Pengarah MFL selepas kelab Liga Super tersebut gagal menyelesaikan bayaran tunggakan gaji seperti tarikh yang ditetapkan.

Melaka United telah menerima notis peringatan pada 6 September 2022 untuk menyelesaikan segala tunggakan gaji atau mendapat persetujuan bersama pegawai dan pemain yang terlibat sehingga 20 September 2022.

Bagaimanapun pada hari ini (21 September 2022), Melaka United hanya dapat mengemukakan bukti pembayaran sehingga Jun 2022.

“Melaka United gagal mematuhi arahan yang telah dikeluarkan di mana mereka hanya membuat pembayaran baki tunggakan gaji sehingga Jun 2022. Selain itu mereka juga belum mendapatkan persetujuan bersama pemain dan pegawai bagi bayaran baki tunggakan gaji berkenaan.

“Maka atas sebab itu, Ahli Lembaga Pengarah MFL membuat keputusan tidak membenarkan Melaka United bertanding dalam saingan TM Piala Malaysia musim ini.

“MFL mengingatkan agar Melaka United dapat menyelesaikan baki tunggakan gaji berkenaan bagi mengelakkan mereka tidak diberikan lesen bersaing dalam Liga Malaysia 2023,” jelas MFL dalam satu kenyataan rasmi hari ini.

Berkenaan dengan pasukan gantian slot Melaka United untuk Piala Malaysia, MFL akan membuat pengumuman dalam masa terdekat.

Sementara itu, Sarawak United telah menjelaskan semua bayaran gaji tertunggak kepada pemain sehingga bulan Ogos 2022.

Bayaran gaji tertunggak kepada pegawai pasukan pula telah dibayar sehingga bulan Julai 2022 walaubagaimanapun Sarawak United dan pegawai pasukan telah mencapai persetujuan bersama berkenaan bayaran tunggakan gaji bulan Ogos 2022.

“Walaupun ada usaha ditunjukkan oleh pihak pengurusan Sarawak United untuk menyelesaikan tunggakan gaji ini, MFL tetap memberi peringatan kepada Sarawak United agar isu seumpama ini tidak berulang lagi yang boleh memberi kesan kepada lesen untuk bertanding dalam Liga Malaysia 2023,” kata kenyataan itu. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN