PETALING JAYA: Tiga calon kapten Harimau Malaya, Syafiq Ahmad, Safawi Rasid dan Dion Cools memiliki keistimewaan masing-masing untuk memimpin pasukan kebangsaan.
Pandangan itu dilontarkan bintang muda negara, Mukhairi Ajmal mengenai siapa calon paling tepat untuk menerima lilitan kapten.
“Bagi saya Syafiq dan Safawi sudah lama bersama pasukan kebangsaan, Cools beraksi di Eropah sudah lama dan miliki banyak pengalaman di sana.
“Ia akan membantu kita sebagai pemain muda meningkatkan prestasi bersama pasukan kebangsaan,” katanya.

Kali pertama Mukhairi mendapat panggilan bersama skuad senior adalah pada 23 September tahun lepas bagi menjalani latihan pusat serta perlawanan persahabatan menentang Jordan dan Uzbekistan.
Bagaimanapun, ini kali pertama namanya berjaya ‘memikat’ jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan Gon dan peluang itu tidak akan dipersia-siakan pemain berusia 20 tahun tersebut.
“Bagi saya ini kepercayaan daripada jurulatih dan saya akan buat yang terbaik dan menunjukkan kebolehan kerana peluang seperti ini bukan senang diperolehi,” katanya.

Mengulas mengenai keserasian dalam pasukan dan peluang skuad negara dalam Piala Raja Thailand, Mukhairi mengakui semua pemain telah bersedia untuk memberikan yang terbaik.
“Keserasian tiada masalah kerana sebelum ini saya pernah bermain dengan mereka tetapi kita semua perlu faham dari segi taktikal.
“Peluang…saya rasa kita fokus kepada pasukan dahulu, tahun lepas Piala AFF kita tak jumpa Thailand,” katanya.