PARIS: Kylian Mbappe dikatakan enggan menyertai sesi penggambaran skuad Perancis yang akan diadakan hari ini.
Tindakan itu berikutan perbalahan yang tercetus selepas Persekutuan Bola Sepak Perancis (FFF) didakwa enggan mengubah suai perjanjian hak imej.
Mbappe dikatakan mahu memboikot penaja tertentu Les Bleus.
Pakar bola sepak Perancis, Robin Bairner dalam Twitter berkata, tindakan Mbappe berbaloi kerana wang yang diperoleh daripada hak imej berkaitan skuad kebangsaan semua diderma untuk tujuan amal.
“Semua wang yang dia peroleh daripada tajaan Perancis setakat ini telah didermakan kepada badan amal.
“Kekecewaan Mbappe mewakili syarikat pertaruhan dan jenama makanan segera yang dia rasa tidak selesa untuk melakukannya,” tulisnya.
Mbappe merasakan imej pemain tertentu digunakan lebih kerap berbanding pemain lain.
Portal, RMC dalam laporan mereka berkata, penggambaran hari ini melibatkan beberapa penaja utama seperti Uber Eats, KFC, dan Coca-Cola.
Pada Mac lalu, Le Parisien melaporkan Mbappe tidak mahu imejnya dikaitkan dengan beberapa rakan penaja pasukan kebangsaan Perancis khususnya syarikat pertaruhan atau kedai makanan segera.
Bintang Paris Saint-Germain (PSG) itu dilaporkan tidak mahu dikaitkan dengan produk berkaitan obesiti dan melihat pertaruhan dalam talian sebagai sangat bahaya kepada peminat muda.
Penaja Les Bleus dibenarkan memilih lima pemain untuk mengambil bahagian dalam kempen pengiklanan mereka sering memilih Mbappe kerana statusnya sebagai bintang.
Begitupun tidak jelas sama ada Mbappe akan menghadapi sekatan atau tindakan kerana keengganannya. – AGENSI