PETALING JAYA: Skuad Bawah 19 (B-19) tahun negara terpaksa akur dengan kepantasan corak permainan dipamerkan Korea Selatan selain layangan kad merah yang diterima Ubaidullah Shamsul pada aksi terakhir Kumpulan E kelayakan Piala Asia B-20 menyaksikan impian untuk ke Uzbekistan lebur.
Situasi itu menjadi antara faktor utama skuad muda negara dibelasah Korea Selatan 6-2 meskipun cuba bangkit melawan sekali gus menghancurkan impian untuk sekurang-kurangnya membawa pulang satu mata.
Pemain B-19 negara Ubaidullah yang dilihat cuba membantah keputusan penjaga garisan memberikan sepakan sudut kepada Korea Selatan pada minit ke-67 mengundang padah apabila dia dilayangkan kad merah selepas menerima kad kuning kedua.
Jelas pengendali skuad itu, Hassan Sazali Waras berkata, barisan anak buahnya sudah mula mendapat rentak untuk merapatkan jurang jaringan namun layangan kad merah itu dilihat ‘mematikan’ semangat mereka untuk mencari gol penyamaan.
“Tak sepatutnya kita kena kad merah kerana ia mengganggu rentak perlawanan kerana situasi ini memerlukan kekuatan semua pemain untuk mencari gol.
“Keputusan terbabit memusnahkan semua perancangan kerana di babak kedua selepas mendapat gol, kita bermain dengan baik namun kad merah merosakkannya.
“Saya sentiasa ingatkan pemain supaya sentiasa berwaspada supaya tidak berhadapan masalah seperti ini (kad merah),” katanya.
Keputusan itu menyaksikan Korea Selatan mengesahkan slot ke Piala Asia B-20 di Uzbekistan tahun depan selaku juara Kumpulan E, manakala Malaysia yang muncul naib juara kumpulan perlu menunggu keputusan kumpulan lain untuk melihat sama ada skuad negara layak atau tidak.
Hanya juara kumpulan akan layak secara automatik dan lima naib juara terbaik dari 10 kumpulan akan mendapat slot ke pusingan akhir Piala Asia B-20 2023.- UTUSAN