Malaysia B-19 benam Sri Lanka

Malaysia B-19 benam Sri Lanka

PERTAHANAN negara, Adam Farhan (tengah) bersaing dengan pemain Sri Lanka pada kelayakan Piala Asia B-20 di Mongolia hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Skuad bawah 19 (B-19) tahun negara mencerahkan peluang merebut tiket ke Piala Asia B-20, 2023 selepas menang 3-0 ke atas Sri Lanka pada aksi di Stadium MFF, Ulaanbaatar sebentar tadi.

Kegagalan mengatasi tuan rumah, Mongolia selepas terikat 1-1 pada aksi pertama Kumpulan E kelayakan Piala Asia B-20 di gelanggang sama Rabu lalu, anak didik Hassan Sazali Waras mempamerkan corak permainan agresif sebaik sahaja perlawanan bermula.

Walaupun mendominasi penuh perlawanan pada permulaan permainan, Malaysia hanya berada pada minit ke-30 menerusi jaringan Aliff Izwan Yuslan.

Gol tersebut dilihat menyuntik semangat barisan pemain B-19 yang terus melancarkan serangan untuk menggandakan kelebihan namun tiada gol terhasil sepanjang 45 minit pertama.

Memasuki babak kedua, Malaysia terus melipat gandakan asakan dari semua sudut untuk memburu gol dengan Sri Lanka lebih banyak berkampung di kawasan sendiri.

Usaha keras Malaysia memburu gol kedua terhasil menerusi Adam Farhan Faizal pada minit ke-70 yang menolak masuk bola hantaran lintang rakan sepasukan ketika penjaga gawang Sri Lanka, Banuka Croos hanya hanya mampu memerhati bola melewati garisan gol.

Baki 15 minit separuh masa kedua memperlihatkan bola banyak berlegar dalam kawasan Sri Lanka dengan Malaysia memiliki beberapa peluang untuk memperolehi gol ketiga namun gagal diterjemahkan jentera serangan.

Ketika perlawanan bakal berkesudahan dengan dua gol, Aliff Izwan terus memahat nama selaku penjaring gol ketiga pasukan dan kedua peribadi pada masa kecederaan babak kedua memastikan gol ketiga buat Malaysia.

Kemenangan 3-0 ini menyaksikan Malaysia berada di tangga kedua dengan mengutip empat mata manakala Korea Selatan unggul dengan enam mata selepas membelasah Mongolia, 7-0 pada perlawanan terdahulu.

Bagi Hassan Sazali kemenangan ini satu keputusan positif buat pasukan menjelang aksi menentang Korea Selatan pada perlawanan terakhir peringkat kumpulan, Ahad ini.

“Kami kini perlu bersedia dari semua aspek untuk berdepan dengan Korea Selatan dan peluang untuk memenangi perlawanan tetap ada,” katanya pada sidang media selepas perlawanan, sebentar tadi.

Selepas Sri Lanka, skuad muda negara akan berdepan lawan lebih kuat iaitu Korea Selatan pada aksi terakhir kumpulan, Ahad ini.
Hanya juara setiap kumpulan akan layak secara automatik ke pusingan akhir kejohanan di Uzbekistan tahun depan dan lima lagi slot akan diisi naib juara terbaik daripada 10 kumpulan dalam kempen kelayakan. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN