fbpx

Kontinjen Sukma Johor tunggu masa ‘tembak bunga api’

KONTINJEN Johor terus mengungguli Sukma ke-20. - IHSAN MAJLIS SUKAN NEGERI JOHOR

PETALING JAYA: Memasuki dua hari terakhir Sukan Malaysia (Sukma) ke-20 yang akan menutup tirai esok, kontinjen Johor hanya menunggu masa untuk memahat sejarah muncul juara keseluruhan selepas mengukuhkan kedudukan teratas pungutan pingat dengan 69 emas, 39 perak dan 39 gangsa.

Biarpun masih ada banyak pingat emas menjadi rebutan, namun Johor terlalu jauh meninggalkan pencabar utama, Wilayah Persekutuan (WiPers) yang mengumpul 41 emas, 47 perak dan 53 gangsa, manakala Terengganu di tempat ketiga dengan 38 emas, 37 perak serta 51 gangsa, diikuti Selangor (26-44-33).

Pemenang pingat emas Sukan SEA, Nurul Syasya Nadiah Mohd. Arifin (menembak) dan pelumba berbasikal trek negara, Muhammad Ridhwan Sahrom antara lapan penyumbang emas Johor semalam.

Nurul Syasya meletakkan dirinya sebagai calon Olahragawati Sukma 2022 apabila meraih pingat emas keempat peribadi dengan menjuarai  acara 10 meter (m) air pistol campuran bersama Hazeq Haqeem R. Azmi, menundukkan Justin Joanes Kelukin-Law Wen Xuen dari Sarawak 16-12.

GANDINGAN Hazeq Haqeem R. Azmi-Nurul Syasya Nadiah Mohd. Arifin menghadiahkan pingat emas ke-65 buat kontinjen Johor apabila memenangi acara 10m air pistol campuran semalam. – IHSAN MSN JOHOR

Di Velodrom Nasional, Nilai, Ridwan Sahrom terpaksa berdepan ‘drama’ sebelum mengakhiri penantian empat tahun untuk meraih emas acara keirin lelaki.

Pelumba berusia 21 tahun itu hampir terlepas emas peribadi ketiganya selepas menerima bantahan beberapa pasukan.

Tindakan Ridwan yang didakwa bergerak ke luar trek dengan niat memaksa lawan untuk naik ke atas menyebabkan dia menerima bantahan beberapa pihak dan seterusnya dikenakan penalti sehingga tercampak ke kedudukan kelima dalam saingan akhir.

MUHAMMAD Ridhwan Sahrom meraikan kejayaan memenangi acara keirin dengan penuh emosi selepas terpaksa berdepan drama semalam. – IHSAN MSN JOHOR

Bagaimanapun, kem Johor yang tidak berpuas hati dengan keputusan tersebut kemudian melakukan protes sebelum Jawatankuasa Komisar Sukma memutuskan Ridwan adalah juara mutlak.

Selain prestasi cemerlang kontinjen Johor, turut mencuri tumpuan pada Sukma 2020 semalam adalah kejayaan perenang WiPers, Bryan Leong memecah rekod kebangsaan berusia 13 tahun dalam acara 100m kuak kupu-kupu lelaki.

PERENANG Wilayah Persekutuan, Bryan Leong ketika beraksi dalam acara 100m kuak kupu-kupu yang menghasilkan pingat emas dan rekod kebangsaan semalam. – UTUSAN/FARIZ RUSADIO

Perenang muda kebangsaan itu mencatat masa 53.32 saat (s) di Pusat Akuatik Nasional, Bukit Jalil, memadam rekod lama milik Daniel Bego 53.33s yang dilakukan pada Kejohanan Dunia 2009 di Itali.

Sementara itu, perebutan ‘ibu segala pingat’ menjadi tumpuan utama temasya hari ini apabila final bola sepak bakal menemukan Pulau Pinang dengan Terengganu di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras.

Di atas kertas, Terengganu yang pernah muncul juara 2006, 2008 dan 2010 menjadi pilihan untuk muncul juara, manakala Pulau Pinang memburu kejuaraan sulung selepas meraih pingat perak pada 2000 dan 2002. – UTUSAN ONLINE

KEDUDUKAN PINGAT SUKMA SETAKAT SEMALAM

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN

Menarik di Kosmo!