fbpx

‘Jangan nampak Syihan sahaja’

REAKSI Ahmad Syihan Hazmi selepas cemerlang menyelamatkan gawangnya ketika membantu Harimau Malaya mengetepikan Thailand untuk melangkah ke perlawanan akhir Piala Raja Thailand di Chiang Mai kelmarin. - IHSAN FAM

PETALING JAYA: Ketangkasan penjaga gol Harimau Malaya, Ahmad Syihan Hazmi Mohamed menyelamatkan beberapa percubaan Thailand, termasuk sepakan penalti telah memastikan Malaysia layak ke final Piala Raja Thai 2022.

Dia menafikan dua percubaan Suphanat Mueanta dalam situasi satu lawan satu dengan penyerang berusia 20 tahun itu pada minit ke-63 dan 71, selain menggagalkan tandukan Supachai Chaided enam minit kemudian.

Bukan itu sahaja, penjaga gawang kelahiran Kelantan itu seterusnya memastikan Malaysia bertemu Tajikistan esok selepas menggagalkan sepakan penalti Supachok Sarachart.

Dianggap wira Harimau Malaya, namun penjaga gawang Negeri Sembilan itu enggan dihamburkan dengan pujian, malah mengakui, perjalanan kariernya tidak mudah.

Jelas Syihan, latihan tambahan yang dibuat antara faktor yang berjaya menafikan hasrat Thailand untuk melakar kemenangan di hadapan ribuan penyokong tuan rumah.

Mengambil pendekatan me­rendah diri, Syihan tidak meletakkan pujian kepada dirinya, sebaliknya kepada pasukan atas usaha yang dipamerkan.

 

“Sebagai individu, saya bukan setakat menjalani latihan biasa bersama pasukan. Saya ada membuat beberapa latihan tambahan. Pemain, jurulatih dan semua pihak juga banyak memberi sokongan.

“Saya hendak cakap satu sahaja, ya saya berjaya selamatkan percubaan lawan tetapi jangan nampak Syihan seorang sahaja. Satu pasukan telah memberi persembahan yang baik,” ujarnya.

Mengimbas kembali perjalanan karier Syihan ia bukanlah mudah dan boleh dianggap sangat berliku dan mencabar sebelum pemain berusia 26 tahun itu mengecapi kejayaan ketika ini.

Berdepan detik hitam yang hampir memusnahkan kariernya apabila digantung dari bermain bola sepak selama 20 bulan oleh Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) selepas gagal ujian doping ketika beraksi dalam Kejuaraan B-23 AFC 2018 di Changsu, di China pada tahun 2018.

Tamat penggantungan, bekas pemain skuad Bawah 21 tahun Kelantan (2015-2017) ini mengikat kontrak bersama PJ City FC, namun tidak mendapat minit permainan sebelum menyertai Negeri Sembilan dan berjaya menjadi penjaga gol utama untuk pasukan itu.

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN