BIRMINGHAM: Erling Haaland meledak gol ke-10 dalam Liga Perdana Inggeris, namun jaringan itu gagal membantu Manchester City mencatat kemenangan apabila diikat 1-1 oleh Aston Villa, hari ini.
Jaringan liga pertama Leon Bailey membantu Villa bangkit daripada ketinggalan untuk meraih satu mata yang amat berharga di Villa Park.
Haaland, 22, meneruskan prestasi hebatnya pada musim pertama di England apabila menyudahkan hantaran cantik Kevin de Bruyne pada minit ke-49.
Ia jaringan ke-10 buat penyerang Norway itu hanya dalam enam penampilan pertama bersama City.
City menguasai sebahagian besar babak pertama, namun gagal memecah kekebalan benteng tuan rumah.
Leon. Bailey. 🚀 #AVLMCI pic.twitter.com/vxOmeZz62o
— Aston Villa (@AVFCOfficial) September 3, 2022
Selepas bertahan dengan baik, Haaland akhirnya mengecewakan anak-anak buah Steven Gerrard.
Begitupun, kegembiraan skuad The Citizens tidak bertahan lama apabila Bailey menyudahkan hantaran Jacob Ramsey, 15 minit sebelum tamat permainan untuk kedudukan 1-1.
Keputusan seri buat kali kedua musim ini menafikan peluang City untuk memintas Arsenal apabila kekal di tangga kedua dengan 14 mata, satu di belakang Gunners yang akan menentang Manchester United esok.
Villa pula keluar dari zon penyingkiran dengan mengumpul empat mata. – AGENSI