PETALING JAYA: Kelab Divisyen 1 Liga Czech, FK Jablonec bukanlah destinasi tetap benteng pertahanan Harimau Malaya, Dion Cools yang dijangka ‘terbang’ ke destinasi sebenarnya, Johor Darul Ta’zim (JDT) pada Januari 2023.
Dalam perkongsian di Instagram, pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkata, Cools akan bersama FK Jablonec hanya untuk tempoh empat bulan sebelum meyertai Harimau Selatan.
Memandangkan jendela perpindahan kedua Liga Malaysia (Liga M) sudah ditutup, Cools yang sudah menamatkan kontrak dengan kelab Denmark, FC Midtjylland perlu kekal beraksi bagi memastikan dia sentiasa pada prestasi terbaik.
FK Jablonec menjadi destinasi ‘persinggahan’ buat pemain berusia 26 tahun itu sebelum menguatkan benteng Harimau Selatan apabila jendela perpindahan kembali dibuka, Januari nanti.

Semalam, Cools secara rasmi diperkenalkan sebagai pemain FK Jablonec, dan dia dijangka membuat penampilan pertama dalam perlawanan menentang Motorlet pada Piala Czech esok.
“Dion Cools, bekas pemain FC Midtjylland dan Club Brugge menandatangani kontrak untuk Jablonec. Bekas pemain skuad remaja Belgium dan pemain semasa pasukan kebangsaan Malaysia ini akan beraksi untuk perlawanan Rabu ini (esok),” kata kenyataan kelab itu.
Cools, 26, bakal kembali ke tanah air hujung minggu ini selepas namanya disenaraikan oleh pengendali kebangsaan, Kim Pan Gon untuk beraksi dalam Piala Raja Thailand di Chiang Mai, Thailand minggu depan. – UTUSAN ONLINE