PETALING JAYA: Fatin Shahida Azmi puas membantu Melaka United mempertahankan kejuaraan Piala Tun Sharifah Rodziah (PTSR) kerana beraksi dalam ‘kesakitan’ ketika menumbangkan Negeri Sembilan 1-0 pada final di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur kelmarin.
Kata Fatin, dia pada mulanya tidak berasa cergas untuk menghadapi perlawanan akhir kerana mengalami kecederaan serius di beberapa bahagian anggota badan seperti pangkal paha, pergelangan kaki dan hamstring
Bagaimanapun, pengorbanannya itu berbaloi apabila dia bukan sahaja meledak gol kemenangan pasukannya, malah dinobat sebagai pemain terbaik untuk meraih bonus tambahan RM 1,500.

“Saya rasa hari ini saya bernasib baik kerana beraksi dalam kesakitan tetapi berjaya membantu pasukan mengekalkan kejuaraan.
“Saya tidak letak sasaran untuk mendapat anugerah tetapi saya gunakan pengalaman sebagai pemain futsal, cuma dah lama tinggalkan bola sepak dan kini kembali beraksi,” katanya.
Secara keseluruhan Melaka United membawa pulang hadiah wang tunai RM50,000 beserta baucer penaja bernilai RM500, manakala Negeri Sembilan beroleh RM30,000 dan Sabah yang meraih tempat ketiga mendapat RM20,000.
Jurulatih Melaka United, S. Ganesan Pillay memuji anak-anak buahnya yang mengikuti segala perancangan sehingga ke masa tambahan.
Skuad Tun Teja kali ini amat berbeza berbanding ketika muncul juara tiga tahun lalu kerana menampilan banyak muka baharu selain dibarisi beberapa tonggak penting seperti Steffi Sarge Kaur dan penjaga gol, Nurul Azurin Mazlan yang pernah beraksi di Liga India.
“Mereka menunjukkan komitmen yang sangat tinggi dan mengikuti segala arahan sampai ke masa tambahan, jadi kita berjaya mendapatkan satu gol yang menjadikan kami juara,” kata Ganesan.