fbpx

Farah Ann harap mampu berlaku adil sebagai juri

Farah Ann menjadi juri di Sukma edisi ke-20.

KUALA LUMPUR: Jika dulu juri yang menilai persembahan Farah Ann Abdul Hadi ketika dia masih bergelar atlet, tetapi, kini bekas ratu gimnastik negara itu pula yang berbuat demikian kepada adik-adiknya di pentas Sukan Malaysia (Sukma) ke-20.

Farah yang kali pertama bergelar juri di Sukma melahirkan rasa teruja melihat peserta gimnas Sukma yang mana ada dalam kalangan mereka merupakan juniornya ketika bersama skuad kebangsaan.

“Saya memang sangat teruja, ada peserta merupakan junior saya, malah, ada juga rakan sepasukan saya dulu.

“Rasa macam nak jerit dan nak sokong mereka, tetapi saya juri pada hari ini, (kelmarin),” katanya ketika ditemui pemberita selepas selesai mengadili acara berpasukan dan all-aroud pada hari pertama gimnastik artistik di Gimnasium 3, Majlis Sukan Negara (MSN) dekat sini, kelmarin.

Mengulas lanjut tentang peranan baharunya sebagai juri, pemenang pingat emas Sukan SEA dan Komanwel itu berkata, dari kerusi juri, dia dapat melihat dengan jelas perkembangan gimnas-gimnas muda yang mempamerkan kemajuan dalam persembahan mereka.

Jelasnya, Sukma merupakan temasya yang menjadi platform terbaik kepada atlet remaja untuk mempamerkan bakat dan kebolehan masing-masing.

“Saya sangat gembira melihatkan perkembangan ini. Semasa saya masih bergelar atlet saya memang amat mengharapkan pemberian mata yang adil kepada saya.

“Jadi, apabila kali ini saya pula yang menjadi juri, saya berusaha sedaya mungkin memberikan markah seadil-adilnya buat peserta. Malah, saya dapat melihat gimnas muda seperti Marissa (Zaiful Azian) dan Hannah (Yasmeen Mazwan) mula pamer peningkatan,” ujarnya.

Hannah yang baharu berusia 13 tahun dan Marissa pula berumur 14 tahun telah dianggap Farah seperti adiknya sendiri.

Farah yang kini berusia 28 tahun memberitahu, selepas pesaraannya, skuad kebangsaan sudah boleh meletakkan kepercayaan kepada Zarith Imaan Khalid, 19, Geanie Ng Ee Ling, 20, dan Rachel Yeoh Li Wen, 24, untuk mengisi kekosongan tempat yang ditinggalkannya.-UTUSAN

 

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN