De Bruyne hidupkan peluang tipis Red Devils

De Bruyne hidupkan peluang tipis Red Devils

AKSI Kevin De Bruyne (kiri) ketika bersaing dengan pemain Wales, Ethan Ampadu di Stadium The King Baudouin, Brussels hari ini. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BRUSSELS: Kevin De Bruyne meledak satu gol dan mencipta gerakan untuk jaringan kedua Belgium ketika pasukannya menumpaskan Wales 2-1 dalam aksi Liga Negara-Negara UEFA hari ini.

Kemenangan tersebut menghidupkan peluang tipis Red Devils untuk melangkah ke separuh akhir selepas ketinggalan tiga mata di belakang pendahulu Liga A Kumpulan 4, Belanda yang turut melakar kemenangan, menumpaskan Poland 2-0.

Sebelum perlawanan, De Bruyne mendakwa dia sudah bosan berdepan Wales di pentas antarabangsa tetapi Belgium hanya menang dua daripada lapan perlawanan di antara mereka dalam tempoh 10 tahun sebelum ini.

Wales menewaskan Belgium pada suku akhir Kejohanan Eropah (Euro) 2016 tetapi gagal mengulangi kejayaan itu hari ini apabila turun tanpa skuad terbaik mereka.

Gareth Bale bermula dari bangku simpanan kerana jurulatih, Rob Page mengutamakan kecergasannya bintang utama Wales itu menjelang Piala Dunia dua bulan lagi. Aaron Ramsey dan Ben Davies juga tidak beraksi akibat kecederaan.

Belgium turut kehilangan tonggak mereka, Romelu Lukaku dan tempat penyerang Inter Milan itu diisi Michy Batshuayi yang memberi umpanan kepada De Bruyne untuk gol pembukaan seawal minit ke-10.

De Bruyne kemudian membantu Batshuayi menjaringkan gol kedua Belgium lapan minit sebelum rehat iaitu jaringan antarabangsa ke-26 pemain itu dalam 46 penampilan.

Wales tidak mengalah dan merapatkan jurang menerusi Kieffer Moore lima minit selepas babak kedua bersambung, namun jaringan itu tidak mampu merubah nasib pasukan.

PENYERANG Poland, Robert Lewandowski kecewa ketika pemain Belanda meraikan kemenangan mereka dalam saingan Liga Negara-Negara di Warsaw, Poland hari ini. – AFP

Sementara itu, dalam aksi di Warsaw, Belanda menewaskan tuan rumah, Poland 2-0 untuk menghampiri separuh akhir Liga Negara-Negara.

Cody Gakpo dan Steven Bergwijn meneruskan rentak cemerlang mereka untuk membantu skuad kendalian Louis van Gaal kekal tiga mata di depan Belgium dalam saingan Kumpulan A4.

Mereka hanya memerlukan satu mata daripada perlawanan terakhir menentang Belgium di Amsterdam Ahad ini bagi mengesahkan kedudukan sebagai pendahulu.

Belanda dilihat berada pada prestasi terbaik mereka menjelang aksi pembukaan Piala Dunia di Qatar menentang juara Afrika, Senegal pada November 21, sebelum aksi Kumpulan A seterusnya bertemu tuan rumah dan Ecuador. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya