Tok Gajah benam Sang Kenari

Tok Gajah benam Sang Kenari

STEVEN Rodriguez muncul wira Sri Pahang apabila meledak dua gol ketika menumpaskan Kedah dalam aksi Liga Super di Stadium Darul Makmur, Kuantan malam ini. - UTUSAN/SHAIKH AHMAD RAZIF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Dua jaringan Steven Rodriguez memberi kekalahan kedua berturut-turut buat Kedah apabila membantu Sri Pahang menundukkan Sang Kenari 2-0 dalam aksi Liga Super di Stadium Darul Makmur, malam ini.

Bagi Tok Gajah, ini adalah kemenangan liga kedua berturut-turut yang dilakar selepas menumpaskan Selangor 2-0 dalam aksi terakhir di Kuantan, Rabu lalu.

Kemenangan ini juga hadiah istimewa buat pengendali sementara mereka, Dollah Salleh yang menerima  Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) sempena Ulang Tahun Keputeraan Ke-63 Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang membawa gelaran Datuk.

Kedah bermula garang apabila Ronald Ngah menanduk bola ke gawang lawan, namun ia hanya melepasi palang walaupun penjaga gol Sri Pahang, Mamadou Samassa sudah pun tertewas di minit kedua.

PERTAHANAN Kedah, Rodney Celvin (tengah) diasak oleh Steven Rodriguez. – UTUSAN/SHAIKH AHMAD RAZIF

Rodriguez bagaimanapun mengembirakan penyokong Sri Pahang apabila meledak gol pembukaan menerusi kuisan cantik pada minit ke-32 yang menewaskan penjaga gol Kedah, Ifwat Akmal Chek Kassim.

Tok Gajah terus mengasak ke arah gol pelawat dan berjaya mendapat sepakan sudut minit ke-46 tetapi kedudukan 1-0 kekal selepas tamat babak pertama.

Sejurus separuh masa kedua bermula, kedua-dua pasukan saling berbalas serangan untuk mendapatkan gol walaupun keadaan padang basah kerana hujan.

PERTAHANAN Sri Pahang, Muslim Ahmad (kiri) mengawal ketat pergerakan penyerang Kedah Mahmoud Nayef Ahmad. – UTUSAN/SHAIKH AHMAD RAZIF

Pada minit ke-66, Rodriguez berjaya menolak masuk bola ke gawang Kedah selepas tendangan kencang Hidalgo gagal di tangkap kemas Ifwat untuk Sri Pahang selesa dengan 2-0.

Keputusan itu kekal hingga wisel penamat walaupun Kedah melakukan banyak percubaan tetapi Samassa kental mengawal pintu gol Sri Pahang. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN