Terima kasih Birmingham, jumpa lagi di Victoria 2026

Terima kasih Birmingham, jumpa lagi di Victoria 2026

UPACARA penutup Sukan Komanwel 2022 berlangsung penuh meriah di Stadium Alexander, Birmingham awal pagi tadi. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BIRMINGHAM: Perjuangan lebih 5,000 atlet dari 72 negara pada Sukan Komanwel Birmingham 2022 berakhir secara rasmi dengan upacara penutup gilang gemilang di Stadium Alexander, Perry Barr awal pagi tadi.

Selepas 11 hari bertarung dalam temasya yang penuh suka duka, Australia menetapi ramalan selaku gergasi sukan dunia dengan mempertahankan kejuaraan keseluruhan menerusi 67 pingat emas, 57 perak dan 54 gangsa.

Tuan rumah, England turut melakar pencapaian menakjubkan menerusi 57 emas, 66 perak dan 53 gangsa untuk menduduki tangga kedua pungutan pingat, diikuti Kanada (26-32-34), India (22-16-23) serta New Zealand (20-12-17).

Kontinjen Malaysia yang dibarisi 104 atlet pula mengatasi sasaran yang ditetapkan dengan pulang bersama tujuh emas, lapan perak dan lapan gangsa, di mana beregu wanita badminton, Pearly Tan-M. Thinaah menjadi penyumbang emas terakhir.

Selain petunjukan cahaya dan bunga api, upacara penutup turut dihidangkan dengan persembahan artis tempatan termasuk Beverly Knight, Jaykae dan Goldie yang mempersembahan alunan muzik generasi lama, masa ini dan masa depan.

Penampilan istimewa Dexys Midnight Runners dengan persembahan lagu Come On Eileen yang pernah mengungguli carta United Kingdom serta Amerika Syarikat pada 1982 turut menceriakan lagi hampir 32,000 orang yang memenuhi stadium.

Presiden Persekutuan Sukan Komanwel (CGF), Dame Louise Marin dalam ucapannya menyifatkan Birmingham 2022 sebagai ‘berani, mengujakan dan cemerlang’, selain memberi pujian kepada semua atlet yang menyahut cabaran sepanjang temasya berlangsung.

Martin kemudian menyampaikan Anugerah David Dixon kepada atlet terbaik Sukan Komanwel 2022 iaitu pemain pingpong Singapura, Feng Tianwei, yang membantu pasukannya menyapu bersih pingat emas berpasukan, perseorangan dan juga beregu wanita.

Diiringi persembahan penyanyi kelahiran Nigeria Jacob Banks, bendera Komanwel yang menjadi lambang persahabatan dinaikkan ketika upacara pembukaan pada 28 Julai lalu diturunkan, sekali gus menandakan tamatlah sudah edisi Birmingham 2022.

Bendera keramat itu bertukar tangan dan diserahkan kepada Gabenor Victoria Linda Dessau, iaitu tuan rumah edisi berikutnya yang berlangsung pada Mac 2026 dengan menyaksikan penganjuran kali pertama Sukan Komanwel di pelbagai bandar di Geelong, Ballarat, Bendigo dan Gippsland.

Persembahan diteruskan dengan segmen budaya daripada orang asli di Victoria sebelum Earl of Wessex Putera Edward mengisytiharkan Birmingham 2022 ditutup.

Di penghujung acara, Prince of Darkness yang juga bintang rock legenda dari Birmingham, Ozzy Osbourne membuat kejutan muncul dengan persembahan lagu Paranoid sebagai menutup majlis gilang gemilang di Birmingham.

Terima kasih Birmingham,  jumpa lagi di Victoria 2026. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya