PETALING JAYA: Michael Feichtenbeiner ‘disingkir’ sebagai Ketua Jurulatih Selangor FC, namun DNA Jerman tetap meresapi Merah Kuning apabila pengendali kelahiran Jerman itu meneruskan tugas selaku Pengarah Sukan kelab.
Selepas mengadakan perbincangan, kedua-dua pihak bersetuju melepaskan Feichtenbeiner daripada jawatan Ketua Jurulatih Red Giants.
“Pengurusan tertinggi dan Feichtenbeiner telah mencapai persetujuan bersama untuk melepaskan jawatan Ketua jurulatih pasukan utama yang telah digalas selama setengah musim.
“Feichtenbeiner akan memberi fokus sepenuhnya kepada projek pembangunan bola sepak Selangor sebagai Pengarah Sukan Selangor FC yang disandang beliau sejak tahun 2020,” kata Selangor FC dalam satu kenyataan semalam.
𝐏𝐞𝐧𝐠𝐮𝐦𝐮𝐦𝐚𝐧 𝐑𝐚𝐬𝐦𝐢 : 𝐒𝐭𝐚𝐭𝐮𝐬 𝐊𝐞𝐭𝐮𝐚 𝐉𝐮𝐫𝐮𝐥𝐚𝐭𝐢𝐡 𝐒𝐞𝐥𝐚𝐧𝐠𝐨𝐫 𝐅𝐂. 📃
Swipe untuk baca kenyataan penuh atau layari laman rasmi https://t.co/DIuHO8Ihc5.https://t.co/UwBoRneryT#MKLK pic.twitter.com/JunAHtozE3
— Selangor FC (@selangorfc) August 9, 2022
Pencarian ketua jurulatih baharu sedang dijalankan dan pengumuman lanjut dibuat sebaik sahaja penelitian dilakukan.
“Tugas tersebut kini digalas pembantu ketua jurulatih, Nidzam Jamil yang akan mengambil alih tanggungjawab mengemudi pasukan utama Selangor sebagai Ketua Jurulatih sementara bagi menghadapi baki saingan Liga Malaysia (Liga M) 2022,” menurut kenyataan itu.
Projek pembangunan bola sepak Selangor yang dimulakan Feichtenbeiner sejak 2020 telah melahirkan ramai pemain muda mewakili skuad utama Selangor dan pasukan Malaysia.
“Sehingga kini, 19 pemain muda dari Selangor FC II diserap ke pasukan utama seperti Mukhairi Ajmal, Sharul Nazeem, Hein Htet Aung, Alex Agyarkwa dan Quentin Cheng.
“Pada tahun ini juga, 10 pemain muda Selangor dipilih mewakili skuad B-23 (bawah 23) negara dan 13 mewakili skuad B-19 untuk pelbagai kejohanan peringkat Asean serta Asia.

“Selangor FC juga antara pasukan termuda (purata umur) dalam Liga M 2022 dan kelab percaya projek pembangunan wajar diteruskan demi kesinambungan masa depan,” menurut Selangor FC.
Pemecatan Feichtenbeiner sebagai jurulatih dibuat tiga hari selepas Red Giants gagal ke final Piala FA apabila kalah kepada Terengganu FC.
Aksi Selangor dalam Liga Super juga tidak konsisten dengan menduduki tangga ketujuh hasil lima kekalahan daripada 13 perlawanan.