KOTA BHARU: Perak FC meleburkan rekod tanpa kalah Kelantan FC di laman sendiri apabila meraih kemenangan 2-1 pada aksi Liga Perdana di Stadium Sultan Muhammad IV, di sini sebentar tadi.
Keputusan itu bagaimanapun tidak mengubah kedudukan The Red Warriors (TRW) selaku pendahulu apabila memiliki kelebihan lima mata mengatasi Johor Darul Ta’zim II (JDT II) di kedudukan kedua.
Pada perlawanan itu, TRW tidak menunggu lama untuk mengembirakan kira-kira 8,173 penyokongnya dengan jaringan gol pembukaan seawal minit kedua hasil jaringan Jasmir Mehat.
Ketinggalan satu gol di belakang, Perak FC cuba bangkit dan mengasak kubu pasukan tuan rumah untuk menyamakan kedudukan.
Bos Gaurus menyamakan kedudukan apabila rembatan ketua pasukan, Wan Zack Haikal Wan Nor dari luar kotak penalti berjaya menerjah jaring Kelantan FC pada minit ke-14.
Silap faham antara penjaga gawang, Nik Mohd. Amin Ahmad dan pemain pertahanan membawa padah buat kem tuan rumah apabila Khairul Helmi Johari tertanduk bola ke gawang sendiri sekali gus menghadiahkan gol kedua buat pasukan pelawat pada minit ke-20.
Situasi berkenaan seakan memberi sedikit tekanan buat TRW yang cuba untuk bangkit menyamakan kedudukan namun percubaan demi percubaan gagal membuahkan hasil dan kedudukan kekal 1-2 sehingga tamat separuh masa pertama.
Bermain di bawah tekanan, Kelantan FC terus berusaha mengatur serangan ke kubu lawan untuk mencari gol penyamaan sebaik sahaja perlawanan bersambung pada babak kedua.
Bos Gaurus pula terus memberi tekanan kepada TRW dengan menafikan setiap peluang dimiliki tuan rumah sambil mengintai peluang untuk menambah jaringan.
Usaha anak didik Rezal Zambery Yahya hampir membuahan hasil melalui rembatan kencang Mohamad Ikhwan Yazek pada minit ke-74 tetapi berjaya ditepis keluar oleh penjaga gawang Perak FC, Muhammad Zamir Selamat.
Tuan rumah mengerahkan tenaga berhabis-habisan apabila perlawanan memasuki masa kecederaan tetapi Perak FC terus kental bertahan dan menafikan setiap serangan TRW untuk memuktamadkan kemenangan mereka di Kota Bharu. – UTUSAN ONLINE