LONDON: Sebuah patung berketinggian 10 kaki yang dibina menyerupai penyerang Manchester City, Erling Haaland hilang tanpa dikesan.
Patung yang diukir berpakaian penuh dengan jersi Norway itu dibuat daripada batang pokok seberat hampir satu tan.
Begitupun, ia mendapat aduan daripada penduduk setempat kerana tidak kelihatan seperti bintang berusia 22 tahun itu.
Patung tersebut ditempatkan di ketinggian 50 kaki di atas sebuah kedai di bandar Bryne, Norway.
Bagaimanapun, pencuri yang disyaki peminat pemain itu tidak berpuas hati dengan patung tersebut dan mencurinya pada waktu malam menggunakan kren.
Seorang ahli perniagaan, Tore Sivertsen membelanjakan 10,000 pound (RM52,000) untuk membina patung tersebut sebagai tanda hormat kepada Manchester City kerana membeli Haaland dengan harga 85.5 juta pound (RM540.51 juta).
Selepas siap dua minggu lalu, Sivertsen merancang untuk melelong patung tersebut bagi membantu membiayai sebuah hospital di Tanzania, namun ia tiba-tiba ‘lenyap’ kelmarin.
Haaland, 22, tiba di City pada musim panas selepas menjaringkan 86 gol dalam 89 perlawanan bersama Borussia Dortmund.
Sivertsen yang merupakan pengedar traktor memberitahu akhbar Britain, The Sun bahawa dia amat berbangga dengan Haaland.

“Saya fikir adalah baik untuk membuat patung bagi memberi penghormatan.
“Ada yang merungut ia terlalu hodoh, katalah apa sahaja, Erling memang bukan seorang yang ‘cantik’.
“Saya masih terkejut bila seseorang memutuskan untuk mencurinya,” kata Sivertsen.
Sivertsen menugaskan pengukir kayu terkenal, Kjetil Barane untuk mengukir patung daripada kayu balak berusia 100 tahun, dan ia mengambil masa setahun untuk dia menyiapkannya.
“Saya terima ia mungkin tidak mengikut citarasa semua orang, tetapi saya menyukainya.
“Ia adalah karya seni dan bukannya perwakilan realistik Erling Haaland,” katanya. – AGENSI