Noor Azman Setiausaha Agung baharu FAM

Noor Azman Setiausaha Agung baharu FAM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Naib Presiden Persatuan Bolasepak Melaka (MUSA) Noor Azman Rahman dilantik sebagai Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang baharu.

Pelantikan berkuatkuasa 1 September 2022 bagi mengisi kekosongan ditinggalkan Mohd. Saifuddin Abu Bakar.

“Pada 23 Ogos lalu, Jawatankuasa Eksekutif FAM dalam mesyuarat khas kali kedua bagi penggal 2021-2025 telah menerima peletakan jawatan Mohd. Saifuddin kerana beliau mahu menumpukan kerjayanya ke peringkat antarabangsa.

“Noor Azman, 55, ketika ini bertugas sebagai Koordinator Presiden FAM sejak 2018 apabila Datuk Hamidin Mohd. Amin dipilih sebagai Presiden FAM,” kata FAM dalam kenyataan akhbar hari ini.

Noor Azman pernah dipilih sebagai Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Melaka (MUSA) pada 2012 sebelum dilantik sebagai Setiausaha Agung MUSA selama tiga tahun dari 2015 hingga 2018.

Pada pemilihan MUSA penggal 2020-2023, beliau sekali lagi terpilih sebagai salah seorang Naib Presiden MUSA.

Selain pengalaman luas bersama MUSA dan tugasnya selaku Koordinator Presiden FAM, beliau juga pernah terlibat dengan beberapa jawatankuasa tetap FAM, antaranya sebagai Ahli Jawatankuasa Media FAM (2010-2013), Ahli Jawatankuasa Futsal dan Bola Sepak Pantai FAM (2014-2018) serta Ahli Jawatankuasa Pertandingan FAM (2018-2019).

Dalam pengurusan pasukan pula, Noor Azman pernah menjadi pengurus pasukan Liga FAM Melaka pada 2013, penolong pengurus pasukan Liga FAM Melaka pada 2014 serta penolong pengurus pasukan futsal kebangsaan dari 2014 hingga 2017.

FAM mengucapkan selamat menjalankan tugas dengan profesional dan penuh amanah demi memartabatkan bola sepak negara. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN