fbpx

Nafuzi lega Faisal bantu atasi Sarawak

SARAWAK United kini berdepan situasi sukar selepas empat bulan tidak terima gaji.

KUALA NERUS: Pengendali Terengganu FC (TFC), Mohd. Nafuzi Zain lega dengan impak dipamerkan pemain tonggak, Faisal Abdul Halim untuk membantu mengatasi Sarawak United 1-0 kelmarin.

Jurulatih berusia 44 tahun itu berkata, Faisal masih bergelut dengan masalah kesihatan akibat demam berpanjangan dan terpaksa memulakan perlawanan dari bangku simpanan.

Begitupun selepas gagal menembusi kubu lawan pada 45 minit pertama, percaturan memasukkan Faisal pada babak kedua membuahkan hasil apabila mencipta gerakan untuk gol tunggal TFC.

“Keadaannya (Faisal) belum 100 peratus cergas untuk bermain sebenarnya selain mengadu sukar untuk bernafas kerana masih demam dan batuk-batuk. Sebab itu dia diletakkan di bangku simpanan.

“Saya lihat kemasukan Faisal berjaya mengubah tempo permainan dengan gerakan berbahaya dan membuat umpanan untuk (Kpah) Sherman menjaringkan gol.

“Saya terharu dengan usaha dan kesungguhan pemain-pemain TFC dalam keadaan serba kekurangan dihimpit isu kecergasan ketika ini,” katanya.

Sementara itu Ketua Jurulatih Sarawak United, S. Balachandran tetap berpuas hati dengan persembahan skuad bimbingannya meskipun kempunan untuk sekurang-kurangnya meraih satu mata.

“Pada babak pertama kami ada satu atau dua peluang terbaik namun gagal disudahkan. Sarawak United sudah memberikan segalanya cuma tidak bernasib baik,” jelasnya.

 

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN

Menarik di Kosmo!