KUALA NERUS: Terengganu FC menguasai permainan dan melakukan apa sahaja untuk cuba memenangi pertemuan menentang Petaling Jaya City (PJ City) kelmarin, malangnya nasib tidak menyebelahi mereka yang sekadar menutup aksi Liga Super itu 0-0.
Pengendali pasukan, Mohd. Nafuzi Zain berkata, skuad Penyu menguasai 90 minit permainan, malah mempunyai sekurang-kurangnya 10 peluang menjaringkan gol, namun dikecewakan oleh ketangkasan penjaga gol lawan, Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi.
Katanya, kekentalan benteng The Phoenix juga mendorong kepada keputusan seri di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, sekali gus menyaksikan Terengganu keciciran mata buat kali kedua berturut-turut selepas kalah 2-1 kepada Negeri Sembilan pada aksi terdahulu.
“Dari minit pertama lagi kami menguasai perlawanan dan semua cukup sempurna kecuali gagal meletakkan bola dalam jaring lawan. Malam ini memang tiada rezeki untuk Terengganu.

“Barisan pemain sudah memberikan segalanya, namun itulah bola sepak.
“Banyak peluang terbuka disia-siakan termasuk daripada jarak dua atau tiga meter dari sasaran.
“Pasukan lawan juga banyak berkampung di kawasan sendiri sehingga 10 pemain dan nasib tidak menyebelahi Terengganu untuk mengutip mata penuh,” katanya.
Sementara itu ketua jurulatih PJ City, P. Maniam, memuji disiplin pemain dalam melaksanakan taktikal bertahan selain berjaya mengikuti arahan sepanjang 90 minit permainan.
Katanya, PJ City juga berjaya melakukan serangan balas yang hampir berjaya memerangkap tuan rumah menerusi Darren Lok, S. Kumaahran dan Muhd. Syahmi Zamri pada babak kedua.