Jaringan Selangor sepatutnya dibatalkan

Jaringan Selangor sepatutnya dibatalkan

PEMAIN dan jurulatih Negeri Sembilan membantah keputusan pengadil membenarkan jaringan Selangor dalam perlawanan Liga Super di Stadium Petaling Jaya kelmarin. – UTUSAN/ SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Setiap minggu mutu pengadilan Liga Malaysia (Liga M) terus dipertikaikan dan boleh dianggap seperti trend ketika ini.

Bermula dari masa tambahan yang diberikan terlalu lama, pengadil seakan-akan ‘menyepak pemain’, pengadil tersalah melayangkan kad sehinggalah kepada pengadil meniup wisel ketika pemain sedang dalam ‘mode’ menyerang.

Kelmarin, tindakan Fitri Maskon yang mengadili aksi Selangor menentang Negeri Sembilan pada saingan Liga Super mencetus perdebatan dalam kalangan jurulatih, pemain serta peminat bola sepak.

Fitri mengesahkan gol kedua ­Se­langor yang dijaringkan Yazan Al-Arab walaupun wisel sebelum itu sudah ditiupkan sehingga mendatangkan kemarahan pasukan Negeri Sembilan.

Jurulatih Negeri Sembilan, K. Devan dan pemainnya membantah jaringan itu menyebabkan keadaan sedikit tegang dan permainan terhenti lima minit.
Gol tersebut bagaimanapun dibenarkan, namun Red Giants akhirnya tumbang 2-3 biarpun mendahului 2-0 di Petaling Jaya.

Berkongsi mengenai Undang-undang Permainan 2022/2023, bekas Pengerusi Jawatankuasa Pengadil Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Subkhiddin Mohd. Salleh berkata, tiupan wisel dibunyikan bagi memberhentikan permainan.

“Tiupan wisel membawa maksud memberhentikan permainan, sama ada untuk memulakan serta menamatkan setiap babak, masa tambahan, sepakan percuma atau penalti,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Mengenai tindakan Fitri yang mengesahkan gol kedua Sela­ngor, Subkhiddin yang juga bekas pengadil Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) berpendapat, jaringan itu tidak seharusnya disahkan.

“Wisel ini isyarat untuk memberhentikan atau memulakan permainan, tiupan wisel akan menarik perhatian pemain dan mengganggu fokus pemain.

“Bila tiup wisel ini bermaksud ada kesalahan dikesan, bagi penalti, tidak boleh berikan ­advantage (teruskan permainan), kena mulakan penalti.

Subkhiddin Mohd. Salleh

“Gol tak perlu wisel, kenapa perlu tiup wisel untuk gol ke­cuali bola itu masuk dan keluar balik.

“Contohnya apabila penolong pengadil mendapati bola telah masuk tetapi pengadil tidak mengetahuinya dan meneruskan perlawanan, jadi penolong pengadil memaklumkan situasi sebenar dan tiupan wisel dibunyikan,” ujarnya.

Sementara itu, Devan menyerahkan sepenuhnya kepada pegawai perlawanan berhubung tindakan Fitri.

“Keputusan pengadil kita tengok macam nak bagi sepakan percuma, penalti atau gol.

“Itu yang kita ragu-ragu dengan keputusan, walau bagaimanapun dia (Fitri) buat keputusan gol dan kita terima,” tegasnya.

Ditanya adakah Negeri Sembilan akan membuat aduan, Devan percaya pegawai perlawanan akan membuat analisis keputusan tersebut.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN