fbpx

Gol Kpah pastikan Penyu tidak menangis

PEMAIN Terengganu FC, Kpah Sherman (kanan) menjaringkan gol pertama ketika bertemu Sarawak FC dalam saingan Liga Super 2022 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, malam ini. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI

KUALA NERUS: Terengganu FC (TFC) dipaksa bermandi peluh sebelum menundukkan Sarawak United 1-0 dalam aksi Liga Super di laman sendiri, sebentar tadi.

Awal permainan dikuasai TFC yang hadir menerusi percubaan lencong Nik Sharif Haseefy Mohd. Lazim dari sebelah kiri pada minit ke-20 yang tepat ke dakapan penjaga gol.

Berpunca hantaran leret Manuel Ott dua minit kemudian, Habib Haroon hampir memecahkan kebuntuan namun sepakan pemain tengah TFC itu ditepis Tauffiq Ar Rasyid Johar.

PEMAIN Terengganu FC, Habib Haron (dua,kiri) diasak pemain Sarawak FC dalam saingan Liga Super 2022 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, malam ini. – UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI

Sarawak United tidak ketinggalan turut berpeluang mengejutkan tuan rumah malangnya tandukan Gonzalo Soto hasil sepakan sudut S. Chanturu tersasar ke sebelah tepi pada minit ke-31.

Tauffiq Ar Rasyid terus cemerlang pada babak kedua apabila menafikan percubaan berturut-turut Ott dan Nik Mohd. Sharif pada minit ke-58 untuk menyelamatkan pintu golnya.

Kedudukan bagaimanapun berubah selepas penyerang TFC, Kpah Sherman menyambar hantaran Faisal Abdul Halim, sekali gus memecahkan kebuntuan pada minit ke-72.

PEMAIN Terengganu FC, Kpah Sherman (kiri) meraikan jaringan bersama rakan pasukan malam ini. – UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI

Kedudukan 1-0 kekal sehingga tamat dan membantu TFC naik ke tangga keempat liga dengan 20 mata manakala Sarawak United yang mengumpul 13 mata, kekal di kedudukan ke-10. – UTUSAN ONLINE

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN

Menarik di Kosmo!