Gol awal Urawa 'bunuh' semangat JDT - Bidoglio

Gol awal Urawa ‘bunuh’ semangat JDT – Bidoglio

PEMAIN JDT kecewa selepas David Moberg Karlsson (tiga, kanan) meraikan jaringan Urawa Red Diamonds dalam saingan Liga Juara-Juara di Stadium Saitama, Saitama malam tadi. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Bolos gol awal pada babak pertama menjadi punca Johor Darul Ta’zim (JDT) rebah 5-0 di tangan Urawa Red Diamonds pada pusingan 16 terbaik Liga Juara-Juara Asia (ACL) di Stadium Saitama, Jepun malam tadi.

Pengendalinya, Hector Bidoglio berkata, gol awal yang dijaringkan menerusi sepakan penalti Alexander Scholz dan sepakan percuma David Moberg Karlsson ‘membunuh’ moral pemain pada perlawanan itu.

“Ini merupakan tahap tertinggi bola sepak di Asia dengan awareness dan decision-making para pemain adalah sangat penting. Anda tidak boleh melakukan kesilapan.

“Kami juga tidak melakukan hantaran-hantaran biasa kami, sebaliknya melakukan hantaran bola jauh. Saya mengingatkan pemain supaya sentiasa berpegang dengan falsafah permainan kami.

“Kami menggerakkan bola dengan lebih baik pada separuh masa kedua dari segi cara pasukan kami bermain,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

KASPER Junker (tengah) meledak gol Urawa Red Diamonds di Saitama malam tadi. – AFP

Pada perlawanan itu, Karlsson menambah satu lagi jaringan pada babak pertama sebelum Kasper Junker meranapkan impian pasukan Southern Tigers apabila meledak dua gol pada 10 minit terakhir permainan.

Kekalahan tersebut menoktahkan saingan JDT dalam ACL setelah melalui musim yang membanggakan layak ke pusingan kalah mati sebagai pendahulu Kumpulan I.

Bidoglio mengakui juara Liga Super lapan kali itu berdepan tugas sukar menentang kelab-kelab dari Jepun lebih-lebih lagi Urawa juga merupakan juara ACL dua kali.

Pengendali kelahiran Argentina itu bertekad untuk bangkit semula dalam kejuaraan tertinggi peringkat Asia itu, namun percaya proses itu akan mengambil masa.

“Pasukan ini telah menunjukkan kemajuan pada pertandingan ACL setiap tahun dan saya percaya ini akan berterusan sambil kami berusaha untuk mencapai tahap yang lebih tinggi.

“Kami akan pulang dan terus berusaha untuk mempertingkatkan lagi diri,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN