DORTMUND, JERMAN: Ketua Eksekutif Borussia Dortmund, Hans-Joachim Watzke menegaskan, pasukannya tidak pernah berhubung dengan ejen Cristiano Ronaldo, Jorge Mendes.
Kelmarin, media melaporkan kelab Jerman itu menjadi destinasi terakhir yang mungkin dituju Ronaldo apabila meninggalkan Manchester United.
Kapten Portugal itu dikatakan terdesak untuk meninggalkan Old Trafford bagi membolehkannya beraksi dalam Liga Juara-Juara musim ini.
Selepas ‘ditolak’ beberapa kelab, termasuk Bayern Munich, Atletico Madrid dan Chelsea, Ronaldo dikatakan menyasarkan Dortmund.
“Saya suka pemain ini, sudah tentu ia idea yang menarik untuk melihat Cristiano bermain di Signal Iduna Park.
“Dia antara pemain terhebat dunia, namun kami tidak pernah berhubung dengannya, tiada perbincangan mengenai perpindahan. Jadi mulai sekarang, semua orang harus berhenti bercakap mengenai perkara itu,” katanya.
Awal minggu ini, pemenang lima anugerah Ballon d’Or itu bercakap tentang masa depannya, dengan menyatakan ‘kebenaran’ akan terungkai dalam masa beberapa minggu.
“Mereka akan tahu perkara sebenar apabila menemubual saya dalam beberapa minggu akan datang. Media bercakap bohong.
“Saya ada buku nota dan dalam beberapa bulan terakhir ini, daripada 100 berita mengenai saya, hanya lima yang betul. Bayangkan bagaimana keadaan itu,” katanya ketika membalas komen peminat di Instagram. – AGENS