BARCELONA: Barcelona berusaha mendapatkan semula bekas penyerangnya, Lionel Messi yang kini menyarung jersi Paris Saint-Germain (PSG).
Masalah kewangan menyebabkan mereka terpaksa membiarkan bintang ikonik itu pergi musim lalu selepas lebih 20 tahun bersama kelab Catalan tersebut.
Biarpun masih menghadapi masalah kewangan, namun Barca membawa masuk enam pemain baharu musim ini, Franck Kessie, Andreas Christensen, Raphinha, Robert Lewandowski dan Jules Kounde.
Pengendali mereka, Xavi Hernandez dikatakan tidak sabar untuk memperkukuhkan lagi skuadnya dalam beberapa musim akan datang dengan Messi antara pemain tumpuan.
Barca mahu pemenang Ballon d’Or tujuh kali itu kembali ke Camp Nou lebih awal.

Sebolehnya, mereka berharap tawaran perpindahan dapat dikemukakan kepada kapten Argentina itu sejurus tamat Piala Dunia Qatar, Disember nanti.
Persoalan utama adalah bagaimana mereka merancang untuk membayar Messi yang menikmati gaji lebih 600,000 pound (RM2.6 juta) seminggu di PSG.
La Liga telah mengenakan had gaji yang ketat terhadap Barca dalam usaha memastikan mereka mengimbangi buku akaun.
Bekas rakan sepasukan Messi, Sergio Busquets dan Gerard Pique antara pemain yang menerima potongan gaji besar.

Messi, 35, menyertai PSG menerusi perpindahan percuma pada musim panas lalu.
Bagaimanapun, dia bergelut untuk menyesuaikan diri dengan kehidupan di Ligue 1 dan ramai peminat tidak kagum dengan persembahannya.
Pemain antarabangsa Argentina itu dicemuh ketika keluar padang biarpun PSG menang 3-0 ke atas Bordeaux awal tahun ini.
Kontrak Messi dengan PSG akan tamat pada musim panas depan, jadi Barcelona berpotensi merundingkan perpindahan percuma pada Januari.– AGENSI