LONDON: Barcelona mahukan bek kanan Liverpool, Trent Alexander-Arnold malah sanggup membayar 67 juta pound (RM362 juta) untuk pemain antarabangsa England itu.
Menurut laporan Futbol Total, gergasi La Liga itu mahu menjadikan pemain berusia 23 tahun tersebut sebagai pembelian terbesar pada perpindahan musim panas 2023. Alexander-Arnold yang memiliki kontrak sehingga 2025 dianggap aset Reds, malah calon kapten masa depan mereka.

Lahir daripada akademik Liverpool, Alexander-Arnold sudah memenangi semua kejuaraan bersama Reds, Liga Perdana Inggeris, Liga Juara-Juara, Piala Dunia Kelab, Piala FA dan Piala Liga.
Biarpun Liverpool mempunyai sejarah menjual pemain kepada Barcelona, namun Alexander-Arnold tidak berminat berhijrah ke Sepanyol berbanding bintang Reds terdahulu seperti Javier Mascherano, Luis Suarez dan Philippe Coutinho.
Malam ini, Alexander-Arnold dijangka memainkan peranan penting apabila Liverpool membuka kempen liga menentang Fulham di Craven Cottage.

Reds bagaimanapun membuka kempen dengan keresahan apabila kehilangan dua tonggak, Ibrahima Konate dan Curtis Jones.
Bek tengah Perancis, Konate mengalami kecederaan kaki pada sesi latihan dan posisi itu hampir pasti diisi Joel Matip bersama Virgil van Dijk.
Jones pula berdepan masalah betis, sekali gus menambah senarai kecederaan pemain yang dialami Reds bersama Diogo Jota, Caoimhin Kelleher, Konstantinos Tsimikas dan Ales Oxlade-Chamberlain. – AGENSI