UBON RATCHATHANI : Thailand sekali lagi menjadi penghalang buat skuad bola sepak negara mencipta sejarah membawa pulang ibu segala pingat di Sukan Universiti ASEAN (AUG).
Dalam perlawanan akhir hari ini, skuad negara tewas tipis 1-2 kepada Thailand sekali gus berpuas hati dengan pingat perak dan mengulangi pencapai di AUG 2008 di Kuala Lumpur.
Dalam perlawanan itu, gol tunggal pasukan negara dihasilkan Mohamad Syahir Abdul Rahman namun, ia tidak memadai untuk menyekat tuan rumah bergelar juara pada edisi kali ini.
Dalam aksi di Stadium Ubon Ratchathani Rajabhat itu, skuad bimbingan Ridzuan Abu Shah dilihat mampu memberikan tentangan selepas mempamerkan penguasaan di awal permainan.
Tersentak dengan asakan Malaysia, pasukan tuan rumah yang merupakan juara bertahan kembali memperkemaskan permainan dan hasilnya mereka mendapat gol pembukaan menerusi Chanmunti Kantinan pada minit ke-23.
Chanmuti sekali lagi bertindak cemerlang menghukum barisan pertahanan negara untuk gol kedua Thailand untuk menjadikan keputusan 2-0 sebelum sebelum wisel separuh masa pertama ditiup.
Memasuki babak kedua perlawanan, Malaysia kemudian cuba mengatur strategi baharu dengan melakukan serangan balas pantas ke kubu lawan namun tiada sebarang jaringan dapat dihasilkan.
Gol sagu hati skuad negara bagaimanapun hadir pada minit ke-78 perlawanan menerusi Mohamad Syahir sebelum wisel penamat ditiup.
“Seperti yang dilihat pada permulaan perlawanan tadi nampak pemainan sedikit perlahan namun kemudian pihak lawan berjaya menghasilkan gol pertama mereka.
“Kita cuba bangkit namun berlaku kesilapan lagi bagi membolehkan Thailand untuk menjaringkan gol kedua. Gol pasukan negara berjaya dihasilkan namun ianya di saat-saat akhir.
“Para pemain sudah memberikan segalanya dan saya berpuas hati dengan persembahan mereka di sepanjang kejohanan ini,” katanya Ridzuan.-UTUSAN ONLINE