AUG: Malaysia terlepas emas ke-35

AUG: Malaysia terlepas emas ke-35

AKSI Haris Jonaidey dalam perlawanan akhir petanque individu lelaki di Sukan Universiti ASEAN (AUG) 2022.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

UBON RATCHATHANI: Harapan menggunung diletakkan kepada Haris Jonaidey untuk meraih emas ke-35 Malaysia di Sukan Universiti ASEAN (AUG) 2022 hari ini tidak menjadi kenyataan.

Dalam perlawanan akhir acara petanque individu lelaki yang berlangsung di Universiti Ubon Ratchathani Rajabhat itu, Haris tewas 13-5 kepada atlet Thailand sekali gus berpuas hati dengan pingat perak.

Aksi Haris pada perlawanan akhir menjadi tumpuan kerana sekiranya atlet berumur 19 tahun itu berjaya meraih emas, dia akan melengkapkan sasaran 35 emas kontinjen negara di AUG 2022.

Kekalahan penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu juga menyaksikan Malaysia gagal mengutip sebarang emas pada hari ketujuh kejohanan dan masih kekal dengan kutipan 34 emas.

“Dalam perlawanan akhir saya banyak melakukan kesilapan dan terlalu gementar. Saya cuba kawal keadaan namun, pemain Thailand bijak ambil kesempatan untuk kekal mendahului.

“Saya gementar bukan disebabkan saya jadi harapan untuk pingat emas ke-35 tetapi disebabkan kesilapan mudah. Apa-apa pun saya sudah lakukan yang terbaik dan berpuas hati dengan perak.

“Selepas ini, saya akan fokus dalam acara beregu pula. Saya akan baiki kesilapan dan berharap kali ini saya dapat hadiahkan emas buat kontinjen negara,” kata ketika ditemui pemberita.

Haris yang mengambil jurusan kulinari berkata, peluang beraksi di pentas antarabangsa memberinya banyak pengalaman dan berharap diberikan kesempatan mewakili negara lagi pada masa akan datang.

“Saya idamkan untuk beraksi di pentas Sukan SEA nanti, diharapkan saya diberikan peluang dan kesempatan yang ada akan saya gunakan untuk mengharumkan nama negara,” katanya.

Pemburuan emas kontinjen negara bagi melengkapkan sasaran 35 pingat akan diteruskan esok dalam perlawanan akhir melibatkan beberapa acara termasuk silat dan juga petanque.-UTUSAN ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya