24 atlet Perak terima insentif RM41,400

24 atlet Perak terima insentif RM41,400

SAARANI Mohamad (tengah) bersama atlet negeri Perak yang menerima insentif atas kecemerlangan pada Majlis Penyampaian Insentif Kecemerlangan Akademik dan Sukan Atlet Negeri Perak di Dewan Serbaguna di Bangunan Perak Darul Ridzuan di Ipoh hari ini. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Seramai 24 atlet Perak menerima insentif daripada kerajaan negeri dengan jumlah keseluruhan RM41,400 atas kejayaan meraih pingat  di kejohanan antarabangsa dan akademik.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, daripada jumlah itu, sebanyak RM30,500 diberikan kepada atlet yang mempamerkan pencapaian dalam beberapa temasya sukan antarabangsa termasuk Sukan Komanwel 2022 di Birmingham, Kejohanan Muay Thai Dunia, Kejohanan Olahraga Remaja Dunia 2022 dan Kejohanan Berbasikal Remaja Asia.

Katanya, insentif RM10,900 pula diberikan kepada 20 atlet yang mencatat kejayaan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Insentif ini bagi membuktikan kepada pelajar-pelajar yang berada di sekolah, bahawa sukan tidak akan merosakkan akademik mereka.

“Jika mereka dapat berikan tumpuan dan perhatian, susun jadual dengan betul, mereka akan dapat capai kejayaan dalam kedua-dua bidang iaitu akademik dan sukan,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Penyampaian Insentif Kecemerlangan Akademik dan Sukan Atlet Negeri Perak di Dewan Serbaguna, Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini hari ini.

Menurut Saarani, insentif berkenaan diberikan sebagai tanda penghargaan dan sokongan berterusan kepada atlet negeri ini yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah mengharumkan nama negara.

“Diharap insentif ini menjadi suntikan motivasi kepada atlet yang berjaya menunjukkan pencapaian seimbang antara bidang akademik dan sukan yang diceburi,” katanya.

Pada majlis tersebut, Muhammad Azeem Mohd. Fahmi, 18, menerima RM1,600 atas kejayaan memperoleh 6A dalam SPM dan memecahkan rekod kebangsaan 100 meter (m) dengan catatan 10.09 saat (s) pada Kejohanan Remaja Dunia Bawah 20 Tahun di Colombia.

Penerjun negara, Muhammad Syafiq Puteh pula menerima insentif sebanyak RM6,000 selepas merangkul pingat perak dan gangsa di Sukan Komanwel 2022 Birmingham.

Turut menerima insentif sama, pemenang pingat emas dan perak Kejohanan Muay Thai Dunia 2022, Mohammad Rifdean Masdor dan Nur Amisha Azrilrizal masing-masing berjumlah RM5,000 dan RM3,500. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.