MUNICH, Jerman: Seorang wartawan sukan Jerman tidak dibenarkan membuat liputan Bayern Munich selepas didapati menjalin hubungan dengan pengurus kelab bola sepak itu, Julian Nagelsmann.
Lena Wurzenberger, 30, yang bekerja untuk akhbar terbesar Jerman, BILD tidak akan lagi melaporkan mengenai juara Bundesliga itu berikutan konflik kepentingan yang jelas antara kehidupan peribadi dan profesionalnya dalam bekerja.
Portal sukan Jerman, SPort1, menyiarkan foto yang tular, di mana Nagelsmann dan Wurzenberger berada di atas kapal layar semasa sedang bercuti di Ibiza.
Begitupun, dakwaan tersebut belum disahkan kedua-dua individu berkenaan.

Wurzenberger sebelum ini membuat laporan untuk Werder Bremen iaitu sebuah kelab sukan profesional yang terkenal di Jerman, namun bertukar ke Bayern Munich sejak dua tahun lalu.
Wanita itu baru-baru ini juga pernah menemu bual bekas penyerang Liverpool, Sadio Mane yang berpindah ke Jerman menerusi yuran 35 juta pound (RM187.14 juta) awal bulan lalu.
Sementara itu, Nagelsmann menyertai gergasi Bavaria tersebut pada musim panas lalu susulan kejayaannya mengendalikan RB Leipzig pada dua tahun lalu.

Nagelsmann yang bakal menyambut ulang tahun kelahiran ke-35 bulan hadapan dilaporkan telah berpisah dengan isterinya Verena selepas 15 tahun hidup bersama.
Pasangan itu mempunyai dua orang anak dan mengikat tali pertunangan pada 2018.
Difahamkan, Nagelsmann dan Wurzenberger ‘serius’ antara satu sama lain dan memaklumkan kepada Bayern mengenai hubungan mereka beberapa minggu lalu. – AGENSI