KUANTAN: Tiga sahabat lama yang pernah bergandingan bersama dalam skuad bola sepak Pahang bakal bertemu dalam aksi Sri Pahang menentang Penang FC di Stadium Darul Makmur dalam saingan suku akhir Piala FA malam ini.
Ketua jurulatih interim Sri Pahang, Dollah Salleh akan bergandingan dengan Pengarah Teknikal skuad itu, Fandi Ahmad bagi berdepan dengan Zainal Abidin Hassan selaku pengendali Penang FC.
Tentunya perlawanan itu bukan sekadar pertemuan biasa buat tiga sahabat lama itu kerana masing-masing pastinya mahu memperoleh kemenangan.
Dollah yang baharu dilantik sebagai jurulatih interim Sri Pahang menggantikan Christophe Gamel dan Fandi sebagai penasihat teknikal perlu membuktikan kehadiran mereka lebih baik untuk Sri Pahang pada saingan berbaki musim ini.

“Saya tahu mereka sahabat baik tetapi Sri Pahang perlu menang dengan Penang FC, tambahan pula ini tugas pertama Dollah mengemudi pasukan,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Sri Pahang, Datuk Mohammed Suffian Awang semalam.
Dollah dan Fandi pastinya mempunyai tugas berat membentuk semula keyakinan pemain Sri Pahang yang dilihat seolah-olah belum mencapai keserasian ketika dikendali Gamel.
Walaupun Sri Pahang kini berada di tangga kedua tercorot Liga Super tetapi berjaya ke suku akhir Piala FA.
Mohammed Suffian yakin barisan pemain Sri Pahang mampu untuk menamatkan saingan dalam tempoh 90 minit dan yakin kemenangan tetap milik skuad itu sekalipun terpaksa beraksi di masa tambahan.