MANCHESTER: Cristiano Ronaldo menegaskan, dia sudah bertemu kelab yang berminat mendapatkan khidmatnya dan menggesa Manchester United meletakkan harga supaya dia boleh menyempurnakan perpindahan ke kelab lain.
Ronaldo dan ejennya Jorge Mendes, mengadakan pertemuan dengan pengurusan tertinggi United di Old Trafford minggu ini bagi menyelesaikan soal masa depannya.
Mendes memberitahu bos United yang dia mempunyai tawaran tetapi kelab perlu meletakkan harga untuk dia menyempurnakan perpindahan itu.
United bagaimanapun enggan melakukannya dan tidak rela membiarkan Ronaldo, yang mempunyai baki setahun lagi di Old Trafford, meninggalkan mereka.
Red Devils akan membuka kempen Liga Perdana Inggeris dengan melayan kunjungan Brighton di Old Trafford sembilan hari lagi.
Ronaldo, 37, tidak mengikuti jelajah pra-musim United ke Thailand dan Australia atas alasan keluarga.
Dia kembali ke kem latihan di Carrington minggu ini tetapi sekadar menjadi pemerhati ketika aksi persahabatan tertutup bertemu Wrexham.
Sementara itu, bekas bintang penyerang England dan Aston Villa, Gabriel Agbonlahor percaya, kapten Portugal itu sanggup menyertai mana-mana pasukan, termasuk musuh ketat United, Liverpool asalkan boleh beraksi dalam Liga Juara-Juara musim depan.

“Cristiano Ronaldo akan menyertai Liverpool pada musim panas ini, jika dia boleh. Mereka adalah musuh ketat United tetapi sekarang ini soal Ronaldo.
“Dia akan pergi ke mana-mana kelab asalkan boleh bermain dalam Liga Juara-Juara dan muncul juara.
“Saya tidak fikir Ronaldo mempunyai kesetiaan kepada United, Real Madrid atau Juventus,” katanya. – AGENSI