LONDON: Bruno Fernandes menegaskan, rakan sekelab dan senegaranya, Cristiano Ronaldo tidak akan meninggalkan Manchester United.
Pemain berusia 27 itu mendedahkan, selepas bercakap dengan Ronaldo beberapa minggu lalu, dia menjangkakan kapten Portugal tersebut akan kekal di Old Trafford.
Katanya, dia percaya Ronaldo akan hadir ke latihan pramusim Isnin depan.
Ronaldo, 37, sebelum ini dikaitkan dengan perpindahan dari United selepas kelab itu gagal layak ke Liga Juara-Juara.

“Saya bercakap dengannya beberapa minggu lalu. Kami berdua sedang bercuti dan tiada siapa yang mengganggu apabila rakan-rakan bercuti.
“Saya berharap dapat bertemu dengannya pada 4 Julai dan berlatih di sana (Manchester United), saya tidak menjangkakan lebih daripada itu.
“Tiada apa yang lebih daripada itu tapi setiap pemain menjaga masa depan mereka. Saya tidak percaya bahawa kelab sanggup kehilangan pemain yang sangat bernilai seperti Cristiano,” katanya.
United sudah memaklumkan kepada Ronaldo bahawa dia tidak akan dijual musim panas ini tapi ia tidak menghalang untuk mana-mana kelab menunjukkan minat terhadap penyerang tersebut.
Ejen Ronaldo, Jorge Mendes dilaporkan mengadakan perbincangan dengan kelab mengenai perpindahannya yang dikaitkan dengan Sporting Lisbon dan Chelsea.
Dalam masa sama, pengarah sukan Sporting, Hugo Viana enggan menolak dakwaan perpindahan Ronaldo dan menjelaskan bahawa ia mungkin boleh dilakukan jika bintang itu berminat. – AGENSI