LISBON: Selepas hampir 19 tahun meninggalkan Sporting CP, Cristiano Ronaldo hangat dikaitkan dengan kepulangan bersama kelab Portugal itu.
Kereta Ronaldo dikesan di stadium Sporting CP di tengah-tengah dakwaan dia akan menyertai semula bekas kelabnya menerusi pinjaman daripada Manchester United, sekali gus menguatkan spekulasi kemungkinan kembalinya pemain itu ke Portugal.
Gambar yang tular di media sosial menunjukkan sebuah kereta milik Ronaldo diletak di Estadio Jose Alvalade, kawasan ‘rumah’ Sporting.
Bintang Portugal itu berazam untuk meninggalkan Old Trafford pada musim panas ini dan dia tidak melaporkan diri dalam jelajah pramusim kelab itu di Asia atas atas ‘sebab keluarga’.
Begitupun, Ronaldo, 37, dalam wawancara bersama Sport TV Portugal mengatakan berita yang bertebaran adalah ‘palsu’.
Penafian itu bagaimanapun tidak membantu meredakan ketidaktentuan mengenai masa depannya di Old Trafford dengan pemain itu masih belum kembali berlatih bersama kelabnya.
Ronaldo masih meneruskan latihan di rumah, menyiarkan gambar dia bersenam di gimnasium rumahnya memakai seluar pendek United.
Potensi perpindahan ke Bayern Munich telah ditolak oleh gergasi Jerman itu hujung minggu ini walaupun terdapat cadangan dia boleh menggantikan Robert Lewandowski, yang perpindahannya ke Barcelona telah disahkan pada Sabtu lalu.
Pilihan Ronaldo semakin mengecil selepas bos Chelsea, Thomas Tuchel menentang idea membawa masuknya bersama pasukan selepas pemilik baharu Blues, Todd Boehly mempertimbangkan untuk melancarkan tawaran luar biasa untuk menandatangani penyerang itu.
Ronaldo ‘kesal’ melihat gajinya dikurangkan di United selepas setiap ahli skuad itu dikenakan potongan 25 peratus kepada gaji mingguan selain kegagalan kelab itu untuk layak ke Liga Juara-Juara, yang mana Ronaldo terdesak untuk terus menyertainya.
Sporting menawarkan peluang ideal untuknya berbuat demikian, setelah melangkah pusingan 16 akhir kejohanan elit itu musim lalu, selain berjaya mengesahkan tiket dalam kejohanan musim ini.
Media di Portugal melaporkan kelab yang berpangkalan di Lisbon itu sedang berunding untuk menandatangani penyerang tersebut dengan perjanjian pinjaman.
Tahun lalu, Sporting memenangi kejuaraan liga Portugal pertama mereka sejak 2002 dan menduduki tempat kedua musim lalu, menduduki tempat di hadapan pesaing sengit Benfica.
“Saya fikir bukan sekarang – saya rasa ia tidak mungkin, tetapi anda tidak pernah tahu. Dia boleh memutuskan ke mana dia pergi, tetapi anda tidak pernah tahu masa depan.
“Saya tidak mahu bercakap tentang itu, tetapi dia mempunyai satu tahun lagi dalam kontraknya jadi apa sahaja keputusannya, mari kita lihat,” ujar Pengarah sukan
Sporting CP, Hugo Viana mengenai kemungkinan kembalinya Ronaldo bersama kelab. – AGENSI