PSG bergolak angkara Neymar

PSG bergolak angkara Neymar

HUBUNGAN Lionel Messi dan Kylian Mbappe bergolak angkara tidak sependapat mengenai Neymar.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PARIS: Dua bintang Paris Saint-Germain (PSG), Kylian Mbappe dan Lionel Messi dikatakan tidak boleh ‘bertentang mata’ gara-gara tidak sehaluan mengenai isu masa depan Neymar bersama gergasi bola sepak Perancis itu.

Masa depan Neymar, 30, di Parc des Prince menjadi tanda tanya sejak kebelakangan ini selepas penyerang Brazil itu dikaitkan dengan perpindahan dari ibu kota Perancis.

Presiden PSG, Nasser Al-Khelaifi sebelum ini memberi bayangan Neymar tidak lagi diperlukan dan bakal berdepan nasib serupa de­ngan pengurus pasukan, Mauricio Pochettino yang dilepaskan.

Begitupun pengendali baharu kelab, Christophe Galtier berharap bekas bintang Barcelona itu kekal dalam perancangannya.

CHRISTOPHE GALTIER 

Messi, 35, yang pernah berganding dengan Neymar di Barcelona juga mahu pemain tersebut kekal.

Pemenang tujuh anugerah Ballon d’Or itu percaya, Neymar masih mempunyai banyak perkara untuk ditawarkan kepada juara Ligue 1 itu, baik di dalam mahupun luar padang.

Mbappe, 23, bagaimanapun mempunyai pendapat berbeza. Pemenang Piala Dunia 2018 itu mahu Neymar dijual kerana tidak menunjukkan contoh disiplin yang bagus.

Neymar yang menyertai PSG dari Barcelona menerusi perjanjian rekod dunia 200 juta pound (RM1.07 juta) pada 2017 me­nyumbang 13 gol dan lapan bantuan dalam 28 perlawanan musim lalu.

KYLIAN MBAPPE

Sejak dia hadir lima tahun lalu, PSG masih gagal merangkul kejuaraan Eropah dan hanya dua kali melepasi pusingan 16 akhir Liga Juara-Juara, selain sekali melangkah ke final.

Biarpun PSG berjaya mempertahankan gelaran Ligue 1, April lalu, namun penyokong kecewa dengan pencapaian mereka di pentas Eropah.

LIONEL Messi (kiri) dan Neymar mempunyai hubungan akrab sejak dari Barcelona.

Pada Mac lalu, Messi dan Neymar diejek ketika beraksi dalam liga domestik gara-gara kekalahan kepada Real Madrid pada pusingan 16 akhir Liga Juara-Juara.

Kedua-dua bintang Amerika Selatan itu diejek setiap kali menyentuh bola ketika menentang Bordeaux.

Ejekan itu berlaku sehari selepas ultras PSG menyeru Al-Khelaifi meletak jawatan ekoran kekalahan kelab di Eropah. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya