PETALING JAYA: Enam mata maksimum dalam dua perlawanan awal perlu diraih skuad bola sepak wanita negara untuk dijadikan suntikan semangat sebelum menentang kuasa besar pada Kejuaraan Wanita Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF) 2022.
Malaysia diundi dalam Kumpulan A bersama Singapura, Indonesia, Thailand, Australia dan tuan rumah, Filipina pada kejohanan yang bermula esok sehingga 12 Julai ini.
Skuad bimbingan Jacob Joseph akan membuka tirai menentang Singapura esok dan Indonesia selang dua hari kemudian.
Selepas dua aksi awal, Malaysia bakal berdepan ujian sebenar menentang pasukan lebih kuat bermula dengan Filipina pada 8 Julai, Thailand (10 Julai) dan Australia (12 Julai).
Bagi benteng terakhir Malayan Tigress, Nurul Azurin Mazlan, kedua-dua aksi awal penting buat pasukan bagi mendapatkan suntikan semangat sebelum menentang kuasa besar dalam kejohanan itu.
“Ini bukan maruah diri sahaja tetapi maruah negara dan lencana yang kita bawa.
“Kalau nak bandingkan Australia, kita masih lagi jauh dan kita perlu bersikap realistik kerana kita tahu mereka ada pemain Piala Dunia.
“Kami tidak boleh bekerja seorang diri kerana bola sepak adalah sukan berpasukan.
“Dua perlawanan awal sangat penting buat saya dan pasukan,” katanya.
Sementara itu kata Jacob, beliau sudah mengenal pasti bahagian yang perlu diberikan tumpuan bagi memantapkan lagi pasukan Malayan Tigress selepas mengharungi dua aksi persahabatan menentang Bangladesh di Dhaka.

“Kita lalui dua perlawanan persahabatan di Bangladesh, perlawanan pertama kita kalah 0-6, ia berpunca daripada mentaliti pemain yang mungkin agak panik sehingga melakukan beberapa kesilapan mudah.
“Bagaimanapun untuk perlawanan kedua, saya sudah tahu bagaimana cara Bangladesh bermain dan saya mengubah taktikal kita lebih bertahan dan bermain serangan balas.
“Kita seri (0-0) dan lebih saya sudah mengenal pasti kelemahan pasukan,” katanya.