KUALA LUMPUR: Malaysia mengesahkan kemaraan ke pentas separuh akhir Piala AFF Bawah 19 tahun (B-19) selepas menewaskan Timor Leste 4-3 pada aksi ketiga Kumpulan B di Jakarta, sebentar tadi.
Kemenangan itu juga memastikan sasaran separuh akhir yang ditetapkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) ke atas skuad bimbingan Hassan Sazali Waras berjaya dipenuhi dengan semangat juang ketara dipamerkan barisan pemain.
Tiga mata diraih Harimau Muda memastikan kedudukan dua terbaik Kumpulan B dengan mengumpul tujuh mata hasil dua kemenangan dan satu seri.
Malaysia akan menentang Laos pada aksi terakhir peringkat kumpulan 11 Julai yang ketika ini gah menerajui kumpulan dengan sembilan mata hasil tiga kemenangan bagi menentukan status juara.
Pada aksi yang berlangsung di Stadium Madya Senayan, lima gol yang terhasil sepanjang 90 minit masa memperlihatkan aksi menarik dipamerkan kedua-dua pasukan.
Malaysia terlebih dahulu mengegarkan gawang Timor Leste menerusi jaringan Najmudin Akmal pada minit kesembilan untuk menewaskan penjaga gawang lawan, Filonito Nogueira.
Kegembiraan Malaysia bagaimanapun tidak bertahan lama selepas Cristevao Moniz Fernandes menjaringkan gol penyamaan selang dua minit kemudian untuk kedudukan 1-1.
Semangat melawan dipamerkan Malaysia apabila mendahului lawan sekali lagi pada minit ke 15 hasil jaringan Adam Farhan Faizal untuk gol kedua.
Serangan bertali arus dan corak permainan menarik dipamerkan kedua-dua pasukan bagi menambah jaringan bagaimanapun tidak terhasil dengan keputusan 2-1 memihak Malaysia pada babak pertama.
Memasuki separuh masa kedua, Aliff Izwan Yuslan meletakkan Malaysia berkelebihan dua gol didepan menerusi penyudah sempurna dengan tolakan bolanya berjaya memperdayakan Nogueira pada minit ke-53.
Skrip sama terus berlalu apabila selang dua minit kemudian Mario Donasio Quintao berjaya menjaringkan gol untuk merapatkan kedudukan 2-3.
Serangan balas dijelmakan Harimau Muda nyata berjaya memerangkap lawan apabila Adam Farhan mencetakkan nama selaku penjaring gol keempat buat pasukan dan kedua peribadi pada minit ke-62 untuk kedudukan 4-2.
Kekasaran dilakukan ketua pasukan negara, Ahmad Aysar Hadi ke atas pemain lawan menyebabkan dia diarahkan meninggalkan padang selepas dilayangkan kad merah kerana mengutip dua kad kuning.
Kelebihan beraksi seorang pemain dimanfaatkan Timor Leste yang berjaya menjaringkan gol ketiga menerusi Quintao pada minit ke-76 untuk kedudukan 3-4.
Walaupun Timor Leste terus memberi tekanan memburu gol penyamaan, kekentalan benteng pertahanan Malaysia serta tahap disiplin yang tinggi memastikan keputusan 4-3 kekal sehinggalah tamat masa perlawanan. – UTUSAN ONLINE