PETALING JAYA: Datuk Pandelela Rinong menegaskan, dia sudah melupakan igauan buruk Sukan Olimpik Tokyo tahun lalu apabila pulang dengan tangan kosong.
Penerjun berusia 29 tahun itu menyifatkan dia kini dalam keadaan terbaik untuk membantu Malaysia capai misi enam pingat emas, dengan terjun diletakkan salah satu prospek utama negara.
Di Tokyo tahun lalu, Pandelela menduduki tempat ke-12 dalam final 10 meter (m) platform wanita individu, manakala gandingannya bersama Datuk Leong Mun Yee bagi saingan 10m platform seirama wanita pula berakhir dengan kedudukan tempat kelapan.
“Saya sudah lupakan (aksi buruk di Olimpik Tokyo), sudah pun boleh meneruskan (kehidupan seperti biasa). Saya hanya fikirkan mengenai waktu sekarang (Sukan Komanwel Birmingham),” jelas Pandelela ketika ditemui media di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kelmarin.

Begitupun Pandelela meraih tonik tambahan apabila berjaya menggondol dua gangsa dalam acara sama, bersama gandingan barunya, Nur Dhabitah Sabri ketika Kejohanan Dunia di Budapest, Hungary bulan lalu.
“Keputusan di Budapest ada juga memberi semangat tambahan buat saya namun saingan di Komanwel bukan calang-calang saya perlu berusaha lagi. Penerjun yang saya bakal hadapi pun orang lain.
“Mengikut pengalaman, apa-apa boleh terjadi. Saya harap mampu memberi yang terbaik dan tuah milik saya,” katanya yang meraih emas di Gold Coast 2018 dalam acara 10 meter seirama bersama Cheong Jun Hong.
Biarpun tanpa kuasa besar China yang sering mendominasi acara terjun di kejohanan antarabangsa, atlet berusia 29 tahun itu tetap tidak memandang mudah khususnya cabaran negara seperti Australia dan Kanada yang mampu memusnahkan harapan Malaysia.
“Ada Australia, ada Kanada dan ada England, banyak negara mampu memberikan saingan. Jadi saya perlu fokus kepada diri sendiri dan pasukan,
“Kami akan berusaha bersungguh-sungguh untuk capai apa yang dihajati,” katanya yang turun, Khamis depan dalam acara 10 meter platform individu di Pusat Akuatik Sandwell.