KUALA NERUS: Ketua jurulatih Terengganu FC (TFC), Mohd. Nafuzi Zain, mengakui skuad bimbingannya beraksi di bawah tahap sebenar ketika mengatasi Sri Pahang 2-1 di tempat sendiri, malam kelmarin.
Katanya, barisan pemain TFC bergelut dengan isu kecergasan selepas mengharungi jadual padat sekaligus gagal memperaga aksi terbaik bertemu skuad Tok Gajah.
“Persembahan pemain-pemain saya kurang baik berbanding perlawanan terdahulu namun harus diingat, untuk mengekalkan rentak dan prestasi bukan satu tugas mudah.
“Saya lihat pemain-pemain sudah keletihan sejak sejak minit pertama lagi dan selepas Sri Pahang merapatkan jurang, kami berada dalam keadaan tertekan.
“Mujur kami berjaya mempertahankan kedudukan 2-1 sehingga tamat, apa yang penting adalah tiga mata dari perlawanan ini,” jelasnya dalam sidang akhbar di sini semalam.
Dalam aksi berkenaan, Kpah Sherman dan Faisal Abdul Halim muncul pencetak gol TFC manakala pemain gantian Sri Pahang, Abdul Malik Mat Ariff menjaringkan gol saguhati pelawat.
Kemenangan itu membolehkan TFC menamatkan kemarau kemenangan dan naik ke kedudukan kelima Liga Super mengumpul 13 mata daripada lapan perlawanan.