LONDON: Pemain Britain, Heather Watson mendakwa, penganjur Wimbledon ‘cuba membunuhnya’ selepas perlawanan dijadualkan semula dan dia hanya ada masa empat jam untuk tidur.
Isnin lalu, perlawanan pertama Watson menentang pemain Jerman, Tamara Korpatsch tertangguh pada kedudukan 1-1 di set pertama gara-gara perintah berkurung pukul 11 malam.
Watson kembali pada hari berikutnya dan menang 6-7 (7/9), 7-5, 6-2 di Gelanggang 1.
Pemain berusia 30 tahun itu mengharungi satu lagi aksi lewat pada Rabu, menentang Wang Qiang dari China. Sekali lagi saingan tergantung kerana masalah lampu.

Watson hanya memerlukan satu mata untuk menang di kedudukan 7-5, 5-4, namun terpaksa menunggu keesokan hari bagi menamatkan perlawanan dalam masa seminit.
Semalam, dia sekali lagi kembali ke gelanggang untuk menentang pemain Slovenia, Kaja Juvan dan Watson menang straight-set 7-6 (8/6), 6-2.
Pemain No. 127 dunia itu bagaimanapun tidak berpuas hati dengan jadual yang disusun oleh penganjur.
“Saya tidak boleh lagi menerima keadaan ini dengan baik.
“Saya tidur kurang empat jam malam tadi dan malam ini mereka menjadualkan perlawanan saya pukul 6 petang dalam acara beregu.
“Secara jujur, saya rasa mereka cuba membunuh saya,” kata Watson yang akan menentang pemain Jerman, Jule Niemeier pada pusingan keempat.

Kata Watson, dia tidak dapat melihat bola dengan jelas setiap kali mengharungi aksi lewat malam, malah kelmarin dia bermain sehingga lewat sebelum kembali ke gelanggang pukul 10.30 pagi esok.
Sementara itu dalam satu lagi aksi tumpuan, ibu kepada dua orang anak, Tatjana Maria, 35, mengejutkan pilihan kelima dari Greece, Maria Sakkari 6-3, 7-5.
Ini kali pertama pemain veteran Jerman itu mara ke pusingan keempat acara perseorangan pada kejohanan Grand Slam selepas tujuh penampilan sebelum ini berakhir di pusingan kedua.
“Buat kali pertama saya datang ke sini bersama dua anak saya. Sangat gembira dapat berada dalam undian utama, saya suka bermain di gelanggang rumput,” katanya. – AGENSI