PUTRAJAYA: Sekalipun Malaysia sudah memenangi Piala Dunia, bola sepak negara tidak boleh ‘berehat’, apatah lagi berjaya merangkul kejuaraan Piala AFF Bawah 19 (B-19) dan layak ke Piala Asia 2023,
Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menegaskan, dua pencapaian membanggakan yang dilakar skuad Harimau Malaya dan Harimau Muda hanya permulaan untuk mereka bekerja keras bagi memburu kejayaan lebih tinggi.
“Walaupun kita dah menang Piala Dunia sekali pun kita mesti terus bekerja keras memastikan pasukan berada dalam keadaan baik.
“Hari ini kita teruskan momentum kejayaan skuad bawah 19 tahun begitu juga pasukan senior.

“Jadi kekalkan momentum itu, dan saya harap media serta penyokong sentiasa memberi sokongan dan bukan kalau ada kesilapan terus kecam,” katanya pada pelancaran Liga Tunas Malaysia (MiLL) di Stadium Mini Taman Pancarona, Putrajaya, semalam.
Turut hadir Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin.
Tahun 2022 dianggap gemilang buat bola sepak negara selepas Harimau Malaya menamatkan penantian 42 tahun layak secara merit ke Piala Asia 2023.
Momentum kegemilangan diteruskan skuad B-19 yang bergelar juara Piala AFF B-19 menewaskan Laos 2-0 di Indonesia, Jumaat lalu.
Kejayaan Kuala Lumpur City dan mara Kedah ke suku akhir Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), manakala Johor Darul Ta’zim (JDT) layak ke saingan kalah mati Liga Juara-Juara Asia melengkapkan pencapaian gemilang bola sepak Malaysia.