JDT II terus 'tekan' Kelantan FC - Utusan Malaysia

JDT II terus ‘tekan’ Kelantan FC

PENYERANG JDT II, Daryl Sham meraikan jaringannya bersama rakan sepasukan ketika menentang UITM FC dalam aksi Liga Perdana di Stadium Majlis Bandaraya Pasir Gudang, malam ini. - UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR GUDANG: Johor Darul Ta’zim II (JDT II) memberi tekanan kepada pendahulu Liga Perdana selepas membenam UiTM FC 4-0 di Stadium Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG), di sini malam ini.

Kemenangan itu menyaksikan JDT II berjaya mengutip 25 mata menerusi 11 perlawanan, dibezakan satu mata di belakang Kelantan FC.

Pada awal perlawanan, pasukan tuan rumah dilihat sukar untuk mengatur serangan ke arah kubu lawan biarpun mendominasi permainan sebaik sepak mula.

Pasukan kendalian Mariano Raul Echeverria akhirnya berjaya memecahkan kebuntuan pada minit ke-20 hasil jaringan penyerang muda, Daryl Sham yang menanduk masuk hantaran lintang Adam Farhan Mohd. Faizal dari jarak dekat.

Lima minit berselang, JDT II menambah jaringan hasil jaringan Moussa Sidibe yang melakukan gerakan solo menggelecek pemain pertahanan lawan sebelum melepaskan rembatan leret ke penjuru kiri gawang menewaskan penjaga gol, Mohamad Ramdhan Hamid pada minit ke-25.

PENYERANG JDT II, Moussa Sidibe dikawal pertahanan UITM FC daripada membuat rembatan dalam aksi Liga Perdana di Stadium Majlis Bandaraya Pasir Gudang, malam ini. – UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI

Pada akhir babak pertama, pasukan pelawat hampir memperoleh gol, namun sepakan percuma yang diambil Nashran Elias sekadar menggegar palang gol.

Bersambung babak kedua, Daryl Sham hampir menambah jaringan peribadinya, namun umpanan Fernando Rodriguez gagal dimanfaatkan sebaiknya.

Pemain berusia 19 tahun itu menebus kehampaan apabila meledak gol pada minit ke-62 setelah menerima lorongan daripada Rodriguez menyaksikan penjaga gol sekadar tergamam melihat bola menerjah jaring.

Pasukan pelawat cuba mengintai peluang merobek gawang lawan, namun barisan pertahanan yang diterajui Junior Eldstal dan Daniel Ting memastikan pintu  gol mereka tidak dibolosi.

Tuan rumah terus menambah derita  pasukan pelawat apabila pemain gantian, Gabriel Nistelrooy Tamin meledak gol keempat perlawanan pada minit-minit akhir permainan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya