KOTA BHARU: Kelantan FC terlepas peluang meraih tiga mata apabila diikat Johor Darul Ta’zim II (JDT II) 1-1 dalam aksi Liga Perdana di Stadium Sultan Muhammad IV, di sini sebentar tadi.
Keadaan menjadi sukar buat The Red Warriors (TRW) apabila terpaksa beraksi dengan 10 pemain pada minit ke-37 selepas Jasmir Mehat diarah keluar padang selepas menerima kad kuning kedua.
Bagaimanapun, penyokong Kelantan FC terlebih dahulu ‘berpesta’ apabila memperoleh jaringan pertama pada minit ke-19 menerusi sepakan penalti yang disempurnakan oleh penyerang berbisa mereka Nurshamil Abd. Ghani.
JDT II cuba bangkit selepas untuk mendapat jaringan penyamaan namun gagal menembusi kekebalan benteng pertahanan tuan rumah.
Tekanan kian memuncak buat Kelantan FC apabila Nurshamil terpaksa dikeluarkan akibat kecederaan dan digantikan dengan pemain pertahanan, Mohd. Arip Amiruddin pada minit-minit akhir perlawanan babak pertama.
Bermula separuh masa kedua, JDT II yang bermain dengan kelebihan satu pemain terus cuba mencari gol penyamaan.
Pelawat akhirnya berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-50 hasil tandukan pemain tengahnya, Daryl Sham K.K. George yang menerima hantaran lintang Muhammad Syahmi Safari.
Perlawanan tergendala seketika pada minit ke-71 apabila penyokong serta pegawai pasukan tidak berpuas hati dengan keputusan pengadil.
Pada minit yang sama, penyerang import Kelantan, Kervens Fils Belfort terpaksa dibawa ke pusat perubatan terdekat akibat kecederaan agak serius.
Kedua-dua pasukan terus kempunan untuk mendapatkan jaringan sekaligus menyaksikan keputusan 1-1 kekal hingga tamat perlawanan.