LONDON: Chelsea semakin hampir menyambar bintang tengah Barcelona, Frenkie de Jong yang menjadi sasaran Manchester United.
Ketika Red Devils yakin untuk mendapatkan pemain Belanda itu, pemilik Chelsea, Todd Boehly sudah pun berada di Sepanyol.
Tular di media sosial video Boehly berada di Barcelona, di sebalik laporan Blues sudah bersedia untuk bersaing merebut pemain berusia 25 tahun itu.
Boehly dikatakan berada di kota Sepanyol itu untuk ‘merampas’ pemain yang dikatakan bernilai sekitar 56 juta pound (RM298.39 juta).
Pemilik baharu Blues itu berkunjung ke sebuah restoran di Barcelona, di mana Presiden Barca, Joan Laporta juga dilihat berada di tempat sama bersama Pengarah Sukan kelab, Jordi Cruyff serta Mateu Aleman.

“Kami ke sini untuk makan, Frenkie bukan untuk dijual. Dia pemain Barcelona.
“Ada tawaran tetapi bukan itu yang berlaku, kami tidak mahu menjual,” ujar Laporta sebelum ini.
Urusan perniagaan De Jong hanyalah satu daripada beberapa perjanjian yang dijangka dibincangkan antara Barcelona dan Chelsea.
Pertahanan Blues, Cesar Azpilicueta dan Marcos Alonso, kedua-duanya dikaitkan dengan perpindahan ke Camp Nou.
Barca difahamkan mahu menyelesaikan perjanjian untuk Azpilicueta secepat mungkin dan bersedia menawarkan kontrak dua tahun kepada pemain berusia 32 tahun itu dengan pilihan untuk musim selanjutnya.
Syarat peribadi telah dipersetujui antara Barcelona dengan Azpilicueta dan Alonso.
Bagaimanapun, gergasi Sepanyol itu tidak berminat untuk membayar yuran yang besar untuk pemain kerana kedua pemain itu akan tamat kontrak musim panas depan. – AGENSI