LONDON: Belgium memahat sejarah melangkah ke suku akhir Kejohanan Eropah (Euro) Wanita 2022 selepas menundukkan Itali 1-0 semalam.
Ketua Jurulatih, Ives Serneels berkata, kejayaan itu juga adalah sejarah buat dirinya sepanjang 11 tahun membimbing skuad Red Flames.
“Ini malam bersejarah buat bola sepak Belgium dan mungkin antara saat terbaik selepas sekian lama mengendali pasukan wanita.
“Saya telah bersama skuad kebangsaan Belgium selama 11 tahun, jadi saya sangat gembira kerana kami mara ke suku akhir,” katanya.
Kejayaan menundukkan Itali menyaksikan Belgium lolos ke peringkat lapan terbaik bersama Perancis yang seri 1-1 dengan Iceland, namun muncul juara kumpulan D.
Sementara itu, jurulatih Itali Milena Bertolini mengakui, anak-anak buahnya terlalu meletakkan tekanan kepada diri sendiri sehingga gagal mempamer aksi terbaik.
Begitupun, dia tetap memuji pemainnya yang segera melupakan kekalahan besar 5-1 kepada Perancis pada aksi pembukaan untuk menunjukkan peningkatan prestasi.
“Kami kurang ketenangan dan meletakkan terlalu banyak tekanan kepada diri sendiri sehingga dihukum. Apa pun ia satu pengajaran berguna,” jelasnya. – AFP