Azreen Nabila tebus maruah, raih emas di AUG 2022

Azreen Nabila tebus maruah, raih emas di AUG 2022

AZREEN Nabila berjaya merangkul pingat emas bagi acara 100m di Sukan Universiti ASEAN (AUG) 2022.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

UBON RATCHATHANI: Pelari pecut muda negara, Azreen Nabila Alias menepati ramalan apabila dinobatkan sebagai ratu pecut Sukan Universiti ASEAN (AUG) apabila berjaya mengungguli acara 100 meter (m) wanita di Stadium Sisaket City di sini sebentar tadi.

Lebih manis, kejayaan Azreen Nabila yang menamatkan saingan dengan merekodkan catatan masa 11:88 saat (s) itu turut diiringi seorang lagi pelari muda negara, Nor Sarah Adi yang menamatkan saingan di tempat kedua dengan catatan 11:97s untuk meraih perak.

Pingat gangsa dalam acara berkenaan pula menjadi milik atlet tuan rumah, On-Uma Chattha yang menamatkan saingan dengan catatan masa 12:41s.

“Saya tak jangka saya dapat menang hari ini kerana saya tak berapa sihat sejak semalam. Di pentas akhir, saya cuma nak lakukan yang terbaik dan pegang kata-kata jurulatih yang mahukan saya pamerkan aksi terbaik

“Jujurnya saya agak gementar kerana saya pernah kalah dengan atlet Thailand itu (On-Uma Chattha) di Sukan SEA Vietnam. Jadi saya sangat gembira dapat tebus semula kekalahan saya,” kata penuntut Universiti Putra Malaysia (UPM) itu yang pernah beraksi di pentas Olimpik Tokyo 2020.

Untuk rekod, pada temasya Sukan SEA Vietnam pada Mei lalu, Azreen Nabila menamatkan saingan di pentas final dengan menduduki tempat ketujuh dengan catatan masa 11.99s.

Sementara itu, hasrat untuk melihat atlet Malaysia dinobatkan sebagai raja pecut temasya AUG 2022 tidak kesampaian apabila wakil negara, Jonathan Nyepa sekadar menamatkan saingan di kedudukan keempat.

Selain Azreen Nabila, atlet lontar peluru negara, Kamal Farhan A Rahman turut membutirkan pingat emas buat kem olahraga menerusi lontaran sejauh 16.47m menewaskan dua wakil tuan rumah.

Sementara itu, Malaysia turut berjaya meraih lima lagi pingat perak hari ini menerusi Nurul Hidayah Lukma (baling tukul besi), Mohamad Amirul Arif Mohd Azri (1,500m), Teoh Kim Chyi (400m), Muhammad Firdaus Mohamad Zemi (400m) dan R. Kirthana (lompat kijang).

Skuad olahraga turut meraih satu pingat gangsa pada hari ini menerusi Savinder Kaur Joginder Singh dalam acara 1,500m.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya