PETALING JAYA: Penyelenggara Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Arcadin Services Sdn. Bhd. membuat laporan polis terhadap dakwaan Presiden Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA), Khalid Samad mengenai isu padang di stadium berkenaan.
Khalid pada 13 Julai lalu mendakwa, pasukan Kuala Lumpur City (KL City) terpaksa ‘merempat’ dengan berlatih di Padang Pudu Ulu selepas tidak dibenarkan menjalani latihan di Stadium Cheras.
“Segala dakwaan itu adalah tidak tepat dan berunsur fitnah dengan memberi laporan yang salah kepada pihak media bagi memberi tanggapan buruk ke atas pentadbiran Arcadin di dalam pengurusan stadium.

“Susulan dari itu, satu laporan polis di buat oleh pihak Arcadin pada 13 Julai 2022 ke atas tuduhan tuduhan itu oleh pihak KLFA. Pihak Arcadin menyerahkan perkara ini kepada pihak polis untuk mengambil tindakan yang sewajarnya,” kata Arcadin dalam satu kenyataan hari ini.
Arcadin merupakan syarikat pentadbir urus bagi kompleks Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur yang bertanggungjawab mengurus dan menyelenggara segala kemudahan venue tersebut, berkuat kuasa sejak Julai 2021.
Awal bulan lalu, Khalid juga pernah membuat kenyataan dengan mendesak DBKL mengambil semula pegangan stadium dan diserahkan kepada KLFA atau KL City bagi penyelenggaraan venue itu selepas pihak yang diberi amanah tidak menjalankan tugas dengan serius dan hanya memikirkan soal perniagaan. – UTUSAN ONLINE