BIRMINGHAM: Penganjur Sukan Komanwel Birmingham 2022 menghampiri rekod jualan 1.5 juta tiket, sekali gus bakal menjadikannya temasya sukan terbesar dianjurkan di England selepas Sukan Olimpik dan Paralimpik London 2012.
Setakat ini 1.2 juta tiket telah terjual, dan jumlah itu melepasi jualan tiket edisi Gold Coast 2018 iaitu 1.02 juta, sementara edisi 2014 di Glasgow pula hanya mencatat 1 juta jualan.
Bagaimanapun penganjur menjelaskan, 200,000 tiket masih tersedia untuk peminat yang ingin mendapatkannya.
Antara yang terlaris adalah acara berbasikal apabila semua acara yang bakal dipertandingkan sudah habis terjual.
Begitu juga sukan bola keranjang 3×3, renang, gimnastik artistik serta olahraga yang mendapat sambutan hangat.
Ketika ini, orang ramai turut berdepan kesukaran bagi mendapatkan tiket upacara pembukaan yang dijangka berlangsung di Stadium Alexander pada 28 Julai dengan kugiran terkenal, Duran Duran dijemput menjadi artis undangan.
“Birmingham 2022 akan menjadi acara sukan yang terhebat dianjurkan, sebanyak 1.2 juta tiket telah terjual untuk edisi kali ini.
“Kita menjangkakan jumlahnya akan meningkat untuk beberapa hari lagi sebelum upacara pembukaan,” kata jurucakap Persekutuan Sukan Komanwel (CGF).
Edisi ke-22 temasya akan berlangsung dari 28 Julai hingga 8 Ogos. – AGENSI