Tujuh mata layak ke Piala Asia - Utusan Malaysia

Tujuh mata layak ke Piala Asia

Skuad Harimau Malaya membuat persiapan akhir semalam menjelang aksi pertama Kumpulan E kelayakan Piala Asia menentang Turkmenistan di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam ini.- Ihsan FAM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Dua kemenangan dan satu seri menjadi buruan skuad Harimau Malaya pada kempen Kelayakan Piala Asia 2023 yang akan membuka tirai malam ini menentang Turkmenistan di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Tujuh mata akan mencerahkan peluang skuad kebangsaan untuk layak ke kejohanan yang dijadualkan berlangsung di China tahun depan.

Justeru, ketua jurulatih Harimau Malaysia, Kim Pan Gon mahu anak-anak buahnya mempamerkan corak permainan pantas dan memastikan tiga mata berharga mampu diperolehi.

Tambah Pan Gon, rata-rata pemain juga sudah tidak sabar untuk bermain pada perlawanan pertama dan pasukan juga sudah melakukan persiapan rapi untuk berdepan Turkmenistan termasuk melakukan analisis terhadap pasukan lawan itu.

“Kami sudah lama menunggu perlawanan ini, kami tidak sabar…Saya rasa kami juga sudah cukup bersedia untuk mempamerkan aksi terbaik kepada penyokong Malaysia dan capai keputusan positif dalam perlawanan ini.

“Kita akan cuba untuk menguasai dan mengawal permainan esok untuk menang dan saya yakin para pemain akan mempamerkan aksi terbaik mereka selepas melakukan persiapan rapi bersama pasukan,” katanya dalam sidang akhbar semalam.

Mengulas mengenai sasarannya sebelum ini untuk sekurang-kurangnya mengutip tujuh mata bagi menempah tiket ke Piala Asia 2023, Pan Gon berkata, dia dan pasukan akan mengambil satu perlawanan ke satu perlawanan.

Juara kumpulan akan layak secara automatik ke Piala Asia 2023 manakala lima pasukan terbaik di tangga kedua daripada enam kumpulan yang bersaing di pusingan ketiga kelayakan berkenaan akan turut ke China.

Selain itu, Pan Gon juga berharap pasukannya tidak akan berdepan masalah permukaan padang pada perlawanan hari ini kerana akan beraksi dalam perlawanan kedua selepas Bahrain menentang Bangladesh.

Dalam pada itu, tonggak pertahanan negara, Dion Cools berkata, kelebihan fizikal yang dimiliki pemain Turkmenistan tidak akan menjejaskan mutu permainan pasukan negara dan dia juga tidak memandang serius perkara itu.

“Kami perlu memberikan fokus terbaik untuk menang perlawanan ini, saya tidak nampak apa kelebihan fizikal dan kami tidak pandang serius tentang perkara tersebut…Apa yang kami tahu ialah kami mahu fokus,” katanya.

Selepas membuka kempen Kumpulan E kelayakan Piala Asia 2023 menentang Turkmenistan hari ini, skuad Harimau Malaya akan turun dalam perlawanan kedua menentang Bahrain pada 11 Jun dan disusuli Bangladesh pada 14 Jun.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN